PASAR malam di Taman Connaught, Cheras, Kuala Lumpur kini menjadi tumpuan bukan sahaja pengunjung yang ingin membeli-belah, tetapi juga 'pencopet' yang licik mencuri barangan peniaga dan orang ramai.
Perkara itu terbongkar selepas satu video tular di laman Facebook, Kaki Viral memaparkan taktik luar biasa digunakan sekumpulan individu dipercayai warga asing yang terlibat dalam kegiatan mencuri di kawasan berkenaan.
Rakaman berdurasi kurang dua minit itu menunjukkan dua wanita dan seorang lelaki bergerak dalam satu kumpulan seperti sudah bersedia dengan helah untuk melakukan kegiatan mereka.
BACA LAGI: Kereta peronda polis mula masuk kawasan sekolah, pantau salah laku pelajar
BACA LAGI: [VIDEO] Sudah berdamai, kes lelaki hempuk juruwang diklasifikasikan NFA — Polis Selama
Dalam video berkenaan, lelaki berkenaan pada awalnya bertanyakan sesuatu kepada peniaga seperti mahu mengalihkan perhatian pemilik gerai tersebut.
Pada masa sama, rakan wanitanya yang memakai pelitup muka dilihat memanjangkan kakinya untuk menarik beg silang milik peniaga yang diletakkan berdekatan tapak jualan.
Setelah berjaya menarik beg tersebut menggunakan kaki, dia berpura-pura tunduk kononnya mengambil sesuatu dari lantai sebelum menyimpan beg itu ke dalam beg pasar yang dibawanya.
Selepas perbuatan berkenaan selesai, tiga individu tersebut dilihat berlalu pergi tanpa membeli barang di gerai tersebut dan perbuatan mereka juga tidak disedari peniaga mahupun orang sekeliling.
“Awas Sindiket Pencopet! Perhatian kepada semua di Pasar Taman Connaught Cheras, sila berjaga-jaga dan awasi barangan anda. Kebelakangan ini, kes kecurian oleh pencopet semakin meningkat di kawasan pasar kita.
"Para peniaga dan pengunjung dinasihatkan supaya lebih berhati-hati setiap masa," pesan Kaki Viral yang memberi amaran kepada orang ramai dan peniaga di kawasan itu agar lebih berhati-hati.
Kejadian itu menimbulkan pelbagai reaksi warganet yang menyifatkan modus operandi digunakan kumpulan berkenaan sebagai sesuatu yang baharu, selain mendesak pihak berkuasa meningkatkan pemantauan dan rondaan keselamatan di lokasi tumpuan awam seperti pasar malam.
Setakat ini, pihak polis belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian yang berlaku di pasar malam di Taman Connaught tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
