HATI mana yang tidak kecewa apabila rumah yang disewakan dalam keadaan lengkap dan bersih, siap dengan perabot, bertukar menjadi seperti tapak pembuangan sampah selepas dua tahun didiami penyewa.
Itulah situasi yang dialami seorang pemilik rumah yang berkongsi kisahnya menerusi akaun TikTok ftnramlie, sekali gus mengundang rasa simpati dan geram netizen.
Menurut pemilik akaun TikTok berkenaan, rumah yang terletak di sebuah kawasan di Kuala Lumpur itu pada awalnya diserahkan dalam keadaan terjaga dan kemas kerana turut dilengkapi beberapa perabot asas demi keselesaan penyewa.
Namun, keadaan rumah itu jauh berubah apabila dia membuat pemeriksaan selepas bil utiliti melambung tinggi.
"Penyewa dari neraka. Saya sewakan sekali perabot. Rumah masa bagi memang bersih. Tapi bila kami datang, terus rasa macam nak menangis.
"Barang berlonggok, sampah merata. Bil air pula mencanak sampai RM200 lebih," luahnya pada Ahad.

Keadaan sebelum rumah Ftnramlie disewakan kepada penyewa pada dua tahun lalu.
Katanya, penyewa tersebut juga sering lewat membuat bayaran sewa selain mempunyai tunggakan bil elektrik dan air yang tinggi.
"Kami dah banyak tolong dia sebenarnya. Sewa bayar lambat, bil tertunggak. Deposit pun kami ambil RM1,500 saja. Kalau kira balik, memang tak berbaloi langsung nak baiki semua ni dengan deposit itu. Kami sekarang cuma nak dia keluar. Sakit mata tengok rumah macam ini," katanya lagi.
Lebih memeningkan, penyewa itu enggan berpindah walaupun diberi notis dan masa yang mencukupi.
"Saya dah halau minggu lepas, suruh keluar. Tapi dia kata masih tak ada tempat nak pergi. Dia cakap dia orang kelainan upaya (OKU) dan mula nak marah, siap ugut nak call polis.
"Kami suruh saja dia hubungi pihak polis kerana ini rumah kami," jelasnya.
Ftnramlie juga memaklumkan bercadang untuk menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan dan pihak berkuasa sekiranya penyewa enggan mengosongkan rumah berkenaan.
"Sekiranya gagal, tindakan pengusiran akan dibuat melalui laporan rasmi. Kami tunggu sampai hujung bulan Oktober ini. Kalau masih tak keluar, kami akan teruskan report," katanya.
Kisah itu mencetuskan pelbagai reaksi netizen, termasuk yang melihat kemungkinan penyewa tersebut mengalami gangguan mental.
Seorang warga maya, Bunga Nur Syafira, berkata situasi itu seakan sama dengan Hoarder Disorder, iaitu tabiat menyimpan barang secara melampau sehingga kediaman menjadi tidak terurus.
"Ini dipanggil penyakit Hoarder Disorder.Suami saya pun sebiji macam ini.Bila kita buang barang dia, dia marah kita balik," jelasnya.
Seorang pengguna TikTok, Ain Syafiqa, turut bersimpati namun menyarankan kedua-dua pihak mencari jalan terbaik.
"Rasanya penyewa tu macam sakit. Orang yang waras tak akan buat macam ini tetapi dia tetap boeh dilabel sebagai 'penyewa ari neraka'.
"Semoga dipermudahkan urusan kedua-dua pihak," katanya.
Rata-rata netizen berharap isu berkenaan dapat diselesaikan secara baik, selain menasihatkan para pemilik rumah agar lebih berhati-hati memilih penyewa dan menyediakan perjanjian sewa yang lengkap bagi mengelakkan kejadian serupa berulang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
