
SUSPEK berusia 14 tahun yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan Yap Shing Xuen di SMK Bandar Utama 4, Petaling Jaya, Selangor akan didakwa di mahkamah pada Rabu (22 Oktober).
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan bahawa suspek akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.
BACA LAGI: Rentetan kes tikam pelajar, pelajar usia 15 tahun trauma nampak staf pakai sarung tangan hitam
"Kami telah meneliti kertas siasatan yang dikemukakan oleh pihak polis berhubung kematian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama.
"Hasil penelitian menyeluruh mendapati terdapat asas untuk mendakwa pelajar lelaki berkenaan. Oleh itu, kami telah memutuskan untuk menuduhnya di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, tempoh reman suspek telah dilanjutkan sehingga 28 Oktober.
Pada 16 Oktober lalu, ibu mangsa, Wong Lee Ping, mendakwa anak perempuannya mengalami kira-kira 200 kesan tikaman dan merayu orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu berkaitan kejadian tersebut.
Bagaimanapun, polis masih belum mengesahkan angka sebenar itu sementara menunggu laporan forensik akhir.
Dalam kejadian pada Rabu (15 Oktober), mangsa berusia 16 tahun itu dilaporkan ditikam berkali-kali di tandas perempuan sekolah berkenaan.
Suspek kemudiannya ditahan pihak polis dan turut dirampas dua bilah pisau serta sebilah kerambit bagi membantu siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram