[VIDEO] Ibu bapa ‘serang’ guru baru beli kereta baharu, dituduh gagal kekang murid bermasalah di sekolah


  • Tular
  • Ahad, 19 Okt 2025

Tangkap layar komen sinis warga maya pada video yang dimuat naik seorang guru di TikTok baru-baru ini.

NIAT seorang guru untuk bergurau sesama rakan sekerja akhirnya bertukar menjadi topik hangat apabila videonya di TikTok mencetuskan pelbagai reaksi netizen sejak Jumaat lalu.

Pemilik akaun TikTok @cda_wahid, yang juga seorang guru di Sarawak, memuat naik video memaparkan rakan-rakan sejawatnya bergurau dan bergembira meraikan seorang guru yang baru membeli kereta baharu jenis Jaecoo J7.

“Begitulah ya, bila beli kereta baru kat sekolah, pastu kereta itu jarang ada. Berjemaah semua nak tengok.

BACA LAGI: 'Tolak confession, nanti kena tikam', trend bergurau tragedi sekolah Bandar Utama cetus kebimbangan normalisasi keganasan terhadap wanita

BACA LAGI: Bawa beg lutsinar ke sekolah seperti sistem Henry Gurney, setujukah ibu bapa?

"Nasib la pemilik layankan saja. Ini saja hiburan cikgu-cikgu,” tulisnya di kapsyen video berkenaan.

Dalam video berdurasi kurang seminit itu, kelihatan beberapa guru ketawa kecil sambil meninjau kenderaan baharu rakan mereka di kawasan sekolah.

Walaupun hanya bertujuan menceriakan suasana dan mengeratkan hubungan sesama guru, video tersebut mendapat perhatian luar jangka apabila menerima ratusan komen, ada yang positif, tidak kurang juga yang sinis.

“Cikgu sekarang ni banyak duit nampaknya. Murid ramai yang susah, tapi cikgu boleh beli kereta import. Dunia dah terbalik ke?” kata @AnakMalaysia.

“Patutlah anak-anak sekolah sekarang makin teruk perangai. Cikgu sibuk buat konten TikTok, bukan sibuk ajar budak,” tulis @HaidarPisang.

“Cikgu dulu bawa motor kapcai pun bangga. Sekarang baru dua tiga tahun kerja, dah tayang kereta mewah,” kata @SuriHati89.

Namun, ramai juga pengguna media sosial yang tampil mempertahankan guru terbabit dan menegur segelintir netizen yang cepat menilai tanpa memahami konteks sebenar.

“Yang beranak orang lain, yang salah didik orang lain pula. Kalau mak bapak murid sekarang bermasalah, adakah patut salahkan cikgu dulu yang didik mak bapak dia?” tulis @zazazainuddin.

“Orang luar nampak senang je kerja cikgu. Tapi cuba tanda kertas jawapan lima kelas, satu kelas 40 orang. Lepas itu kena key-in data, isi borang dalam talian, mesyuarat tak henti-henti. Balik rumah pun kadang masih buat kerja sekolah,” tegas @mamuizz_.

“Cikgu pun manusia, bukan malaikat. Tak salah kalau mereka nak gembira atau beli kereta baru hasil kerja keras sendiri. Takkan sebab jadi cikgu, semua benda kena nampak susah?” kata @NoraLia.

Rata-rata komen yang membela guru tersebut menyifatkan masyarakat kini terlalu cepat menjatuhkan hukum terhadap golongan pendidik yang sekadar berkongsi momen bahagia.

Walaupun hanya gurauan ringan, video itu akhirnya membuka perdebatan tentang persepsi masyarakat terhadap profesion perguruan antara tanggungjawab, penat lelah, dan hak untuk menikmati kehidupan seperti orang lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram