[VIDEO] Seperti ada dendam lama, aksi 2 jiran bergaduh jatuhkan martabat wanita, semangat kejiranan


  • Tular
  • Jumaat, 17 Okt 2025

Tangkap layar pergaduhan berlaku antara jiran itu.

TULAR di media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan insiden pergaduhan dua keluarga jiran wanita, selepas video tersebut dimuat naik oleh Malaysian Crime Watch - MyWatch. 

Rakaman berdurasi lebih enam minit itu memperlihatkan pergelutan tercetus di kawasan perumahan apabila pertengkaran mulut antara dua wanita pertengahan usia bertukar menjadi pergaduhan fizikal melibatkan anak-anak. 

Insiden dipercayai bermula apabila dua wanita masing-masing bertudung hijau dan berbaju jingga, saling berbalas kata-kata kasar di hadapan rumah yang sebelumnya kedua-dua mereka sedang membersihkan laman masing-masing. 

BACA LAGI: 'Jadi malim bukan sekadar tunjuk jalan', pendaki wanita berpengalaman gesa ketatkan syarat lesen MGP susulan tragedi Gunung Liang

BACA LAGI: Dua malim ditahan, pendaki Gunung Liang meninggal dunia kerana masalah kesihatan, bukan terjatuh — Polis

Kemudian wanita yang jingga dilihat berulang kali melakukan aksi provokasi dengan menyembur air terhadap jiran dan seorang lagi wanita dipercayai anak jirannya itu.

Suasana bertambah kecoh apabila beberapa lagi individu dipercayai anak wanita bertuding hijau keluar dari rumah dan bergasak dengan wanita bertudung jingga itu sehingga ada antara mereka jatuh di atas jalan.

"Astaghfirullahaladzim. Ya ALLAH kenapa bodoh sangat. Allahukhbar, kau jirus aku kan? Sudahlah. Ya ALLAH. Sudahlah kakak, sudah. 

"Bergaduh dengan korang ini menyusahkan. Kenapa makin teruk dia. Makin teruk. Balik lah balik. Jangan layan," kata wanita bertudung hijau.  

Namun, wanita berbaju jingga tersebut tidak duduk diam apabila membalas dengan lantang apabila dia menuduh jiran berkenaan sebagai tidak menghormati orang lain dan bersikap hipokrit. 

"Kau ada anak tapi masih duduk bawa ketiak mak. Kurang ajar satu keluarga ini. Dah lama aku sabar dengan korang. Kau rosakkan anak orang. Yang di dalam itu keluarlah kalau berani. 

"Ingat orang tak tahu apa kau buat. Ada bukti. Anak dan mak sama saja. Depan orang tunjuk baik. Tunduk semua," kata wanita berbaju jingga 

Walaupun punca sebenar pergaduhan masih belum dapat dipastikan, rakaman suara jelas seolah-olah menunjukkan kedua-dua pihak sudah lama menyimpan rasa tidak puas hati. 

Insiden tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat mengenai gejala keganasan antara jiran, yang semakin kerap tular di platform media sosial.

Lokasi kejadian tidak dapat dipastikan tetapi tarikh insiden itu dipercayai berlaku pada Jumaat berdasarkan makumat pada video berkenaan. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram