Penjurian ESG PIA capai kata putus, juri serantau sepakat perkukuh komitmen kelestarian


  • Bisnes
  • Sabtu, 18 Okt 2025

Barisan juri Asia ESG Positive Impact Awards mendengar taklimat daripada firma audit antarabangsa, BDO, mengenai prosedur penjurian bagi memastikan ketelusan dan integriti proses penilaian.

PENJURIAN ESG Positive Impact Awards (PIA) 2025 yang pertama berakhir pada 14 Oktober, dengan 54 pemenang emas terdahulu membentangkan penyertaan masing-masing kepada panel juri antarabangsa.

Kesemua pemenang pingat emas itu terdiri daripada ESG Positive Impact Awards (Malaysia) Star Media Group (SMG), ESG Edge Impact Awards (Filipina) dari Philippine Daily Inquirer dan Lestari Awards (Indonesia) (KG Media). 

Pada peringkat serantau ini, pemimpin industri menunjukkan komitmen mereka terhadap kelestarian dengan mengetengahkan ketahanan iklim, amalan perniagaan beretika, kesaksamaan sosial dan tanggungjawab korporat, sambil memacu transformasi bermakna dalam industri dan komuniti masing-masing.

BACA LAGI: Mengiktiraf visi, mengangkat nilai murni, 16 kategori Anugerah ESG PIA rai kepimpinan lestari

BACA LAGI: Perhentian Dive Festival 2025 pacu sektor pelancongan selam skuba menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026

Proses penjurian dibahagikan kepada empat panel, yang menilai peserta melalui pembentangan secara maya.

Ketua juri dari Indonesia, yang juga pengasas bersama dan pengarah program PT Gagas Inspirasi Nusantara, Ummu Azizah Mukarnawati berkata, ada organisasi masa kini bercakap mengenai ESG seolah-olah ia merangkumi segala-galanya, sedangkan matlamat kelestarian sebenarnya lebih utama.

“ESG hanya salah satu kerangka untuk mencapai matlamat kelestarian tersebut, seiring dengan tanggungjawab sosial korporat dan pembangunan mampan.

Aspek sosial ESG masih ketinggalan

"Semasa proses penjurian, kami mendapati masih ada pemudah istilah berkaitan ESG dan kelestarian, termasuk pemahaman tentang DEI (kepelbagaian, keterangkuman dan kesamarataan) yang merupakan asas kepada falsafah kelestarian,” katanya.

Namun, beliau percaya sudah banyak organisasi kini semakin sedar dan mengambil tindakan konkrit terhadap ESG dalam kerangka kelestarian.

“Ini adalah trend positif kerana organisasi mula memberi perhatian kepada kepelbagaian, keterangkuman dan kesamarataan serta mematuhi prinsip Panduan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia bagi menguruskan kesan dan risiko operasi mereka,” katanya. 

 

Sementara itu, ketua juri dari Filipina dan Pengerusi Institut Pengarah Korporat, Pete Maniego, menekankan bahawa kewangan merupakan pemacu utama penerapan kelestarian.

“Pertumbuhan pesat dalam kewangan hijau atau peralihan serta dorongan terhadap Taksonomi ASEAN sedang memformalkan peruntukan modal lestari.

"Selain itu, syarikat besar yang mempercepat usaha dalam pengurusan risiko iklim, penyahkarbonan dan pengurusan sisa biasanya dipacu oleh tuntutan rantaian bekalan global," katanya.

Namun beliau turut menegaskan masih wujud jurang, terutamanya dari segi kualiti data dan kebolehbandingan akibat kekurangan penyeragaman, yang menjadi halangan utama kepada pelabur dan cabaran bagi syarikat kecil.

Beliau juga menyentuh ketidakseimbangan dalam kematangan rantaian bekalan dan sosial dengan menyifatkan program yang boleh diukur untuk aspek sosial seperti hak pekerja dan gaji adil serta pematuhan ESG yang berkesan dalam rantaian bekalan PKS masih ketinggalan berbanding usaha alam sekitar.

Wooden cubes with ESG Environmental social and governance symbol on background and copy space.Business concepts.

Dalam pada itu, ketua juri Malaysia, yang juga Timbalan Pengarah Perancangan Strategik dan Timbalan Ketua Kelestarian di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Edison Choong berkata, penerapan ESG terus berkembang apabila organisasi bergerak melangkaui pematuhan kepada pertumbuhan berasaskan manusia dan kelestarian.

“Kini muncul pandangan yang lebih luas tentang impak — satu yang mengiktiraf hasil yang boleh diukur serta nilai tidak ketara seperti integriti dan tujuan. Namun apabila pencapaian serantau berkembang, cabarannya ialah menyelaraskan kemajuan yang pelbagai,” katanya

Beliau menambah bahawa kepimpinan sebenar dalam bidang itu memerlukan lebih daripada sekadar metrik.

Bukan sekadar kerangka 'rigid'

Katanya, ia menuntut keberanian mencabar kebiasaan serta kebijaksanaan melihat ekosistem sebagai satu kesatuan yang hidup dan saling berkaitan.

Apabila ditanya apa lagi yang boleh dilakukan untuk meningkatkan piawaian dan impak ESG di rantau ini, Ummu menjawab bahawa pemahaman asas kelestarian amat penting sebelum melangkah ke ESG, kerana kelestarian melibatkan lebih banyak pihak berkepentingan.

“Organisasi perlu mengenal pasti kesan positif dan negatif operasi mereka dan mengambil tindakan konkrit untuk menguruskannya.

"Sinergi dan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan amat penting kerana kesan dan risiko saling berkait dengan ramai pihak,” katanya.

Maniego pula berkata, peningkatan ESG memerlukan usaha menyeluruh di peringkat negara, merentasi semua sektor bagi menangani jurang data, kapasiti dan insentif.

“Untuk peralihan yang adil, tiada siapa harus disisihkan," ujarnya.

Hak pekerja dan gaji adil masih ketinggalan berbanding usaha terhadap alam sekitar.  — Gambar hiasan

Pendedahan ESG secara mandatori dan berperingkat (selaras dengan ISSB/Taksonomi ASEAN) amat penting.

Pengawal selia perlu memberi insentif kewangan kepada peneraju prestasi tinggi dan mengambil tindakan tegas terhadap ‘greenwashing’ untuk membina kepercayaan awam.

Maniego berkata lagi, syarikat besar perlu melangkaui pematuhan dalaman dan melabur dalam peningkatan kapasiti serta penggunaan teknologi dalam rantaian bekalan PKS bagi memastikan impak di seluruh rantau.

Dalam perkembangan sama, Choong pula menegaskan bahawa impak sebenar tercapai apabila kerajaan, industri dan komuniti bersatu di bawah niat bersama, bukan sekadar bergantung kepada kerangka semata-mata.

“Polisi koheren, perkongsian bermatlamat dan penglibatan pelbagai pihak mesti memacu evolusi kolektif ini.

"Untuk meningkatkan impak, kita perlukan lebih banyak 'real human stories' yang diceritakan oleh organisasi besar dan kecil,” katanya. 

Selain meraikan pencapaian, acara itu juga menjadi platform perkongsian ilmu, kerjasama dan inspirasi, menghimpunkan perintis ESG, pembuat dasar dan pemimpin perniagaan bagi memajukan agenda kelestarian di seluruh rantau.

Seiring ESG menjadi teras strategi korporat, anugerah berkenaan mengiktiraf organisasi yang bukan sekadar bertindak balas terhadap cabaran global, tetapi turut membentuk penyelesaian ke arah masa depan sifar bersih, inklusif dan lestari.

Asia ESG PIA 2025 akan berlangsung pada 6 November di Sunway Resort Hotel, dianjurkan oleh Star Media Group dengan Sime Darby Property Bhd sebagai Rakan Strategik Biodiversiti Urban. — The Star 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram