
BUAT julung kalinya, Perhentian Dive Festival 2025 dianjurkan oleh Pertubuhan Renjer Lautan Malaysia (Ocean Ranger) sebagai inisiatif ekopelancongan yang menampilkan pendekatan inovatif dalam mempromosikan Pulau Perhentian sebagai destinasi pelancongan mampan.
Festival selama empat hari tiga malam yang bermula Khamis itu diadakan di MIMPI Perhentian Resort, Long Beach dan berlangsung dengan kerjasama strategik antara pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, komuniti tempatan dan sektor swasta.
Dengan bertemakan pelancongan lestari melalui selam skuba, festival tersebut bukan sekadar platform untuk menikmati keindahan dasar laut, tetapi turut menggalakkan penyertaan aktif dalam program pemuliharaan dan pemerkasaan komuniti.
BACA LAGI: Punca kematian pelajar SMS Johor akibat pendarahan dalaman otot pinggul — Polis Ipoh
Acara utama festival menyaksikan perasmian lokasi selaman baharu yang dikenali sebagai 'Kemah Keming Wreck'.
Sepanjang tempoh penganjuran festival, pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan antaranya pembukaan lokasi selaman baharu (wreck dive site), mini galeri foto bawah air oleh Ipah Uid Lynn, persembahan kebudayaan dan aktiviti kesenian, pertunjukan 'Mermaid Showcase', demonstrasi skuter dalam laut, program restorasi karang 'The Bahulu Project', operasi pembersihan jaring hantu (ghost net removal), serta acara pelepasan anak-anak penyu ke laut.
Program tersebut turut mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) dan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, serta disokong oleh rakan strategik utama seperti MIMPI Perhentian Resort, Below The Surface Dive Centre dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Turut menjadi penaja dan rakan program adalah Canon Malaysia, Scuba Schools International (SSI), Kasih Store dan RIPCURL Malaysia.
Acara utama festival menyaksikan perasmian lokasi selaman baharu yang dikenali sebagai 'Kemah Keming Wreck', disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Tuan Mohamad Ridwan Mohd Nor bersama wakil dari Jabatan Perikanan dan Motac.
Antara peserta yang hadir memeriahkan festival tersebut.
Tapak selaman baharu berkenaan melibatkan penenggelaman kapal nelayan rampasan yang dijadikan tukun tiruan dan dijangka menjadi salah satu tarikan utama buat peminat selam skuba di Pulau Perhentian.
Turut dilancarkan adalah projek 'The Bahulu Project' iaitu inisiatif penanaman tukun tiruan yang disokong oleh Jabatan Perikanan Negeri Terengganu dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah program ESG lima tahun.
Sebanyak 50 unit tukun tiruan ditaja oleh TNB dan telah dirasmikan oleh Ketua Cawangan Konservasi & Perlindungan Perikanan, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Puan Norlizawati Ibrahim.
Turut hadir, Tuan Mohd Fawzy Abu Bakar dari TNB Global Business Solutions.
Antara aktiviti yang dilakukan dalam festival tersebut.
Projek tersebut turut mendapat sokongan saintifik daripada Pegawai Penyelidik dari Institut Sains Samudera dan Bumi (IOES), Dr. Affendi Yang Amri serta Dive Centre Below The Surface (BTS) selaku wakil komuniti selam.
Penganjuran Perhentian Dive Festival 2025 juga menjadi medan penting sebagai persediaan awal menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan objektif strategik yang selari dengan aspirasi nasional dalam memperkukuh segmen pelancongan mampan.
Penganjuran acara tersebut menyasarkan beberapa objektif utama, antaranya menjadikan Pulau Perhentian sebagai model destinasi pelancongan mampan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 14: Life Below Water), sekali gus menetapkan penanda aras baharu untuk ekopelancongan di Malaysia.
Salah satu tarikan utama buat peminat adalah selam skuba di Pulau Perhentian.
Di samping itu, ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran global mengenai keindahan serta keunikan terumbu karang negara, merancakkan segmen pelancongan berteraskan kelestarian, dan menjana impak ekonomi yang positif kepada komuniti setempat.
Selain itu, festival berkenaan turut memperkukuh kerjasama strategik antara NGO, agensi kerajaan, pengusaha pelancongan dan komuniti dalam usaha memulihara serta mempromosikan pelancongan lestari sebagai bukti komitmen Malaysia terhadap pembangunan mampan.
Majlis penutupan festival disempurnakan oleh Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya Negeri Terengganu, yang turut merasmikan pelancaran awal bagi Perhentian Dive Festival 2026, Mazshida Ruslal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram