[VIDEO] Mangsa ditemukan dalam bagasi di Ampang Jajar maut akibat sesak nafas, penemuan kereta jadi petunjuk baharu


  • Kes
  • Jumaat, 10 Okt 2025

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis giat mengesan suspek.

POLIS mengesahkan punca kematian lelaki yang mayatnya ditemukan dalam bagasi ditinggalkan di belakang flat Ampang Jajar di Jalan Permatang Pauh, Butterworth, Pulau Pinang pada Khamis adalah disebabkan sesak nafas.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail selepas memperoleh hasil laporan bedah siasat diterima daripada pakar forensik Hospital Pulau Pinang (HPP).

Dia berkata, proses pengecaman mayat lelaki berusia 31 tahun itu juga sudah dibuat ahli keluarganya di unit forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) kira-kira pukul 9 pagi.

BACA LAGI: Mayat lelaki disumbat dalam bagasi ditemui di belakang flat Ampang Jajar

BACA LAGI: Sempat mesej ibu kata ada kerja di Perlis, pekerja insurans hilang 2 hari maut dibunuh, disumbat dalam bagasi di Ampang Jajar

"Mangsa dilaporkan hilang oleh keluarga Khamis lalu apabila tidak pulang selepas keluar dari rumah sehingga mayatnya dijumpai. Mayat mangsa ditemukan dalam sebuah bagasi di kawasan belakang flat dan siasatan mendapati mayat ditemui dalam keadaan lehernya tercedera dan tangan diikat manakala kepalanya diserkup dengan plastik.

"Polis masih menyiasat sama ada mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibungkus dan dimasukkan ke dalam beg itu seterusnya dicampak di kawasan terbabit," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, penemuan Toyota Vios kira-kira 450 meter (m) dari lokasi penemuan mayat tersebut dipercayai mempunyai perkaitan dengan kes berkenaan.

Mayat ditemukan dalam bagasi oleh pekerja stesen pemindahan sampah.

Mangsa dipercayai memandu kenderaan berkenaan yang bernombor pendaftaran PPP3135 sebelum dia dilaporkan hilang oleh keluarganya pada Rabu lalu.

Penemuan kereta itu sekali gus menjadi petunjuk baharu bagi pihak polis melengkapkan siasatan kes berkenaan termasuk usaha memburu suspek yang terbabit.

Difahamkan, pihak polis turut mengambil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari stesen pemindahan sampah berhampiran untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dengan polis giat mengesan suspek dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat supaya berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Norhaslinda Rahmat. —Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram