
KEMATIAN seorang pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang di sebuah resort di Kemaman, Terengganu pada Sabtu mengundang pelbagai reaksi dan spekulasi di media sosial khususnya apabila ada pihak menuduh suami mangsa sebagai punca kejadian.
Mangsa, Nurhazwani Abd Halim, 34, merupakan anak kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permaisuri, Datuk Abd. Halim Jusoh disahkan meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam kolam renang resort berkenaan.
Namun, di sebalik kesedihan keluarga dan rakan-rakan, seorang individu tampil menjelaskan keadaan sebenar bagi menolak dakwaan yang mengaitkan suami mangsa sebagai suspek.
BACA LAGI: FIFA tak persoal prosedur JPN tapi kelayakan 7 pemain warisan — Khairi
BACA LAGI: Kongsi foto atas padang, 2 pemain warisan optimis kembali beraksi secepat mungkin
Mangsa, Nurhazwani Abd Halim merupakan anak kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Permaisuri, Datuk Abd. Halim Jusoh. — Facebook
Dr Khalif Sidratul Muntaha yang merupakan kenalan kepada suami mangsa tampil menjernihkan keadaan dengan menjelaskan kejadian sebenar berdasarkan maklumat yang diperoleh secara langsung daripada suami Allahyarhamah.
"Rasa terpanggil untuk perbetulkan salah faham yang terjadi hingga menyebabkan suami difitnah warga maya yang tak tahu cerita hujung pangkal.
"Khabar angin mengatakan bahawa isteri mati lemas ketika mandi bersama-sama suaminya di kolam hotel.
"Disebabkan itu, komen penuh dengan tuduhan suami sebagai punca dan suspek, tak puas hati kepada suami, dan tak kurang juga yang pelik macam mana boleh mati lemas jika suami ada di sana.
“Suami Allahyarham memang mandi di kolam renang bersama isterinya. Allahyarham pandai berenang. Namun, secara tiba-tiba Allahyarham pengsan ketika berada dalam kolam, bukan mati lemas atau dilemaskan.
"Kejadian itu mungkin disebabkan ‘sudden loss of consciousness’, seperti serangan sawan, serangan jantung, atau serangan syncopal,” jelasnya melalui sebuah Threads di media sosial.
Sebahagian kepimpinan penyelaras UMNO Dun Permaisuri hadir menziarahi anak kepada Datuk Abd. Halim Jusoh. — Facebook
Tambahnya lagi, suami Allahyarhamah bertindak segera dengan memberikan bantuan kecemasan (CPR), tetapi malangnya tidak berjaya menyelamatkan isteri tercinta.
Dr Khalif turut menegaskan bahawa tajuk berita awal yang menyebut 'wanita lemas dalam kolam renang hotel' adalah tidak tepat dan menyebabkan kekeliruan serta fitnah terhadap suami mangsa.
“Saya sendiri hadir di majlis pengebumian dan mendengar cerita sebenar daripada mulut suami Allahyarhamah yang merupakan rakan kepada isteri saya. Betapa sedihnya suami yang kehilangan isteri secara tiba-tiba, dipersalahkan tanpa bukti, hanya kerana tajuk berita yang mengelirukan.
"Inilah zaman paling senang fitnah dilahirkan, hanya perlu mula dengan setitik kebodohan dan syak wasangka,” katanya.
Beliau juga memohon agar masyarakat mengambil iktibar daripada kejadian tersebut dan menghentikan penyebaran berita palsu yang boleh merosakkan reputasi dan perasaan keluarga mangsa.
Menurutnya lagi, Allahyarhamah turut disahkan mengandung tiga bulan ketika kejadian berlaku.
Terdahulu, menurut laporan pihak polis, mangsa bersama suaminya mendaftar masuk ke resort kira-kira pukul 4 petang sebelum mandi di kolam renang sekitar pukul 5.30 petang.
“Selepas hampir sejam di dalam kolam, suami mangsa menyedari isterinya tidak sedarkan diri dan segera membawa mangsa ke hospital. Namun, Allahyarhamah disahkan meninggal dunia,” kata Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja’afar.
Proses bedah siasat telah dijalankan di Unit Forensik Hospital Kemaman bagi mengenal pasti punca kematian, dan siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah, dengan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram