Sistem 'glitch', pump luar offline antara 34 aduan diterima sejak pelaksanaan BUDI95


  • Bisnes
  • Rabu, 08 Okt 2025

Pelanggan boleh melakukan transaksi di kaunter dalam kedai dengan membuat semakan menggunakan pembaca I-SARA. — Gambar hiasan/ ZULAZHAR SHEBLEE/The Star

HANYA 34 aduan diterima sejak pelaksanaan subsidi petrol bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bulan lalu, kata Senator Fuziah Salleh.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata, secara keseluruhannya pelaksanaan BUDI95 berjalan dengan sangat lancar kecuali beberapa isu teknikal kecil.

“Kami menerima 34 aduan sejak pelaksanaan BUDI95. Hasil semakan kementerian mendapati satu hingga dua aduan berpunca daripada gangguan sistem atau system glitch.

BACA LAGI: Baru awal bulan BUDI95 dah tinggal separuh, 'sales advisor' merungut kuota 300 liter tak cukup isi minyak kereta pelanggan

BACA LAGI: Lebih 5 juta muat turun, aplikasi 'No Thanks' tanda solidariti untuk negara 'tembikai'

Motorist fueling petrol using BUDI95 subsidy at petrol station in Klang Valley. Story plan on petrol BUDI 95 roll in. — FAIHAN GHANI/The Star

Secara keseluruhan, pelaksanaan BUDI95 berjalan dengan sangat lancar kecuali beberapa isu teknikal kecil. — FAIHAN GHANI/The Star

“Namun begitu, stesen minyak terlibat telah membayar balik perbezaan harga kepada pelanggan yang terkesan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) di Dewan Rakyat pada Rabu (8 Oktober).

Beliau menjelaskan, aduan lain berpunca daripada kiosk pam luar talian (outdoor pump) yang terputus sambungan, dan sistem berkenaan berada di bawah kawalan stesen minyak masing-masing.

“Dalam situasi sebegini, pelanggan masih boleh melakukan transaksi di kaunter dalam dengan membuat semakan menggunakan pembaca I-SARA,” tambahnya.

Fuziah turut memuji usaha pengusaha stesen minyak dalam memastikan pengguna tidak terbeban atau menghadapi kesulitan susulan pelaksanaan BUDI95.

Dalam perkembangan lain, Fuziah memaklumkan bahawa sebanyak 11,297 syarikat pengangkutan awam dan penghantaran sudah mendaftar bagi mendapatkan petrol RON95 bersubsidi pada harga RM2.05 seliter antara 15 September hingga 7 Oktober.

Beliau berkata, sembilan jenis kenderaan pengangkutan awam dan 12 jenis kenderaan penghantaran layak menerima petrol bersubsidi itu.

Selain itu, sebanyak 22,918 kenderaan yang berkaitan juga telah didaftarkan untuk mendapatkan petrol bersubsidi.

Fuziah menjelaskan bahawa kad fleet akan digunakan untuk pembelian petrol bersubsidi bagi memudahkan pemantauan dan mengelak sebarang penyalahgunaan.

Katanya, pendaftaran bagi petrol bersubsidi melibatkan bot penumpang pula akan bermula pada Rabu ini.

“Buat masa ini, pengusaha bot penumpang akan dibayar balik perbezaan harga secara tunai sementara sistem untuk menyalurkan petrol bersubsidi mengikut kuota masing-masing akan dimuktamadkan bulan ini,” jelasnya.

Beliau menambah, kementerian membelanjakan RM492,900 bagi membangunkan sistem pemprosesan dan kelulusan permohonan, termasuk bagi menentukan kuota petrol untuk kategori pengguna tersebut.

Fuziah turut memaklumkan bahawa sistem BUDI95 dibangunkan oleh Kementerian Kewangan.

Bagaimanapun, beliau tidak menjawab soalan tambahan daripada Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang ingin tahu berapa lama rakyat Malaysia akan terus membayar RM1.99 seliter bagi petrol di bawah skim BUDI95.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor memaklumkan bahawa Fuziah boleh memberikan jawapan bertulis kepada soalan Rosol.  — The Star / MARTIN CARVALHO, TEH ATHIRA YUSOF & GERARD GIMINO 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram