
KETIKA ini, tumpuan masyarakat dunia terarah kepada perjuangan aktivis Sumud Flotilla Gaza (GSF) yang sanggup mengorbankan masa, harta dan tenaga demi menyertai misi kemanusiaan ke Palestin.
Mereka yang terlibat dalam misi ini bukan sahaja datang daripada pelbagai latar belakang, malah ada yang menjual harta, meninggalkan kerjaya seketika selain berkorban meninggalkan keluarga tersayang.
Semua ini demi memastikan bantuan sampai kepada penduduk Gaza yang kini berdepan kebuluran serta krisis kesihatan yang meruncing.
BACA LAGI: Lebih 5 juta muat turun, aplikasi 'No Thanks' tanda solidariti untuk negara 'tembikai'
BACA LAGI: Ramai pernah kena! Ini tip penting jika jadi mangsa scammer, kecurian identiti kad kredit
Di tanah air sendiri, pelbagai lapisan masyarakat turut mencari ruang untuk menunjukkan sokongan.
Kempen boikot produk pro Zionis antara lain terus diperhebat untuk menyampaikan mesej solidariti terhadap rakyat Palestin.
Bagi pengasas jenama Anas Cosmetics, Mohamad Anas Zahrin Atan, dia menjadikan bisnes industri kecantikan yang diceburi sebagai wadah perjuangan untuk menyatakan solidariti terhadap nasib penduduk Palestin.
Anas berkongsikan bagaimana pelanggan secara tidak langsung turut menderma kepada Persatuan Cinta Gaza Malaysia menerusi pembelian barangan kosmetik jenamanya.
"Untuk mereka yang tak henti-henti sokong Anas Cosmetics, tak kisahlah lip matte atau apa sahaja barang Anas, terima kasih sangat.
"Semoga ALLAH mewahkan rezeki Anas lebih lagi agar dapat memberi manfaat kepada umat Islam dan mereka yang memerlukan.
"Sumbangan ini pun hasil sokongan daripada kalian juga. Terima kasih kerana sokong Anas," kongsinya.
Anas yang merupakan usahawan kosmetik kelahiran Kota Tinggi, Johor berkongsikan derma sebanyak RM50,000 kepada Persatuan Cinta Gaza Malaysia melalui satu transaksi pada Isnin (6 Oktober).
Menurut Anas lagi, usaha itu sahaja yang mampu dilakukan sebagai tanda solidariti kepada perjuangan membela nasib rakyat Palestin.
"Saya tak sekuat mereka untuk belayar bersama, tidak sehebat mereka untuk berjuang ke bumi Gaza tapi ini saja yang termampu daripada saya," ujarnya.
Perkongsian itu nyata menyentuh hati ramai dan rata-rata netizen meluahkan rasa terharu kerana masih ada usahawan tempatan yang sanggup menyalurkan hasil keuntungan perniagaan untuk tujuan kemanusiaan.
"Bukan setakat produk dia berkualiti tapi setiap pembelian pun ada pahala yang mengalir," komen @fezalmohd.
"Tengok hasil pembelian kosmetik dapat (derma) ke Gaza, memang makin aku sokong kau bang," komen @heattyishak.
"Tak rugi membeli, dalam kita berbelanja, boleh menyumbang untuk saudara kita di Gaza," kata @_farizashamiera.
Langkah Anas itu dianggap simbol bahawa solidariti terhadap Palestin tidak terhad kepada misi maritim sahaja, sebaliknya boleh dizahirkan melalui apa jua bentuk sumbangan sama ada masa, tenaga, kewangan mahupun platform perniagaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram