[VIDEO] 'Mereka bertarung nyawa demi tugas', ahli keluarga luah perit jerih petugas SESB dihanyut arus di Keningau


  • Tular
  • Rabu, 17 Sep 2025

Tangkap layar video yang tular di media sosial menunjukkan sebuah kenderaan SESB yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Kampung Nuntunan, Apin-Apin, Keningau.

AHLI keluarga mana yang tidak kecewa melihat sebahagian warganet seolah-olah meletakkan kesalahan kepada kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) selepas dilaporkan hanyut dibawa arus deras ketika menjalankan tugas di sebuah kampung di Keningau, Sabah.

Sebahagian warganet menitipkan kata-kata mendoakan keselamatan pekerja itu, tetapi ada juga yang mempersoalkan keputusan kakitangan berkenaan bekerja ketika cuaca tidak mengizinkan.

Tidak tahan dengan komen-komen mengguris hati itu, salah seorang keluarga mangsa tampil menceritakan kejadian berkenaan dengan dia meminta untuk mendoakan terbaik untuk kakitangan SESB tersebut.

BACA LAGI: Bencana Sabah: Budak 10 tahun antara 12 maut di Papar selepas 18 jam operasi menyelamat

BACA LAGI: Sambutan Hari Malaysia dibatalkan, fokus bantu mangsa banjir di Sabah

"Untuk pengetahuan saudara saudari semua, keluarga kami ini bukan suka-suka mahu melintas untuk memperbaiki tiang yang jatuh itu. Kalau mereka nampak air besar macam itu mereka pun tidak akan mempertaruhkan nyawa mereka.

"Apa lagi di rumah anak-anak menunggu. Tapi masa di tengah jalan itu kepala air tiba-tiba datang. Kereta mereka pun tersekat, tolong jangan buat spekulasi yang bukan-bukan. Tambah mengguriskan perasaan keluarga yang terlibat sahaja.

"Doakan keluarga kami yang belum dijumpai pulang dengan selamat," kata pengguna TikTok, Durianzz yang mendakwa merupakan keluarga mangsa.

Dalam pada itu, hantaran di Facebook turut mendapat perhatian ramai apabila warganet mengingatkan orang ramai supaya lebih menghargai pengorbanan pekerja SESB yang sanggup meredah bahaya demi keselesaan pengguna.

“Kita kehilangan elektrik selama beberapa hari, dia kehilangan nyawa selama-lamanya,” tulis pengguna Facebook, Shahrizal Hj Mohd Shom yang mengajak seluruh rakyat di Sabah untuk sabar dengan isu bekalan elektrik Pantai Timur terjejas baru-baru ini.

Menurutnya lagi, insiden di Sungai Kg. Nuntunan, Apin-Apin itu wajar dijadikan pengajaran agar masyarakat lebih bertolak ansur dan berhenti menyalahkan petugas barisan hadapan yang sebenarnya berusaha membantu.

"Inilah pengorbanan para kakitangan SESB yang terpaksa meredah bahaya, sungai, bukit bukau, hutan belantara demi memastikan kita yang berada di rumah sentiasa selesa.

Apa yang berlaku, kita jadikan pengajaran untuk lebih bertolak ansur sesama manusia.

"Bencana alam yang melanda Sabah sepatutnya menjadikan kita lebih rapat, bukannya dicemari dengan ketidaksabaran dan kritikan khususnya kepada para kakitangan yang sebenarnya membantu kita menghadapi kesukaran ini.

" 'Lama juga tiada karen? Apa SESB buat?'. Inilah yang mereka selalu hadapi dan sentiasa bergegas untuk selesaikan. Sabarlah dan berdoa. Kita sedang hadapi bencana. Bukan perkara biasa," jelasnya.

Tangkap layar kenyataan dari SESB.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, pencari diperluaskan sehingga lingkungan lima kilometer ke arah hilir sungai.

Selain itu katanya, pencarian turut meliputi sehingga 1.5 kilometer ke hulu sungai sehingga ke kawasan Quarry Mili Hasil, Kampung Kadalakan, di Keningau.

Katanya, operasi pencarian berdepan kesukaran disebabkan bot aluminium tidak dapat melalui beberapa lokasi berikutan keadaan sungai cetek dan berbatu.

Dalam kejadian pukul 9.30 malam tadi, mangsa berusia 30-an dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberangi jambatan yang dilanda banjir.

Difahamkan, mangsa bersama dua rakan sekerjanya sebelum itu melakukan kerja-kerja di pencawang berhampiran jambatan gantung.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dilancarkan pasukan bomba dengan dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penduduk kampung. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram