
KERAJAAN Sabah mengumumkan pembatalan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri yang dijadualkan berlangsung di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah pada Selasa malam berikutan bencana besar yang melanda beberapa daerah akibat hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor memaklumkan keputusan tersebut telah disampaikan kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman pada Isnin sebagai langkah tanggungjawab dan solidariti terhadap mangsa yang terkesan.
“Keutamaan segera Kerajaan Negeri adalah untuk mengurus krisis, menyelaras usaha pemulihan dan memastikan operasi menyelamat dilaksanakan dengan pantas bagi komuniti yang terjejas.
BACA LAGI: [VIDEO] Majlis Daerah Baling tampil perjelas isu caj RM400, nafi pegawai langgar etika
Sambutan Hari Malaysia di Sabah dibatalkan berikutan krisis bencana.
"Dalam waktu sukar ini, kesejahteraan, kebajikan dan keselamatan rakyat adalah paling utama. Segala fokus dan sumber mesti ditumpukan kepada mereka yang terkesan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Setakat ini, sekurang-kurangnya tujuh daerah di Sabah dilaporkan terjejas akibat banjir dan tanah runtuh susulan hujan lebat yang berterusan.
Situasi semasa memaksa Kerajaan Negeri untuk menumpukan sepenuhnya kepada pengurusan bencana dan pemulihan di kawasan-kawasan kritikal.
Ketua Menteri turut mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong agar berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya dan bersedia melaksanakan tindakan segera di lapangan.
Difahamkan, jawatankuasa tersebut kini mengadakan mesyuarat khas bagi memantau perkembangan semasa dan menyelaras operasi bantuan di daerah-daerah terjejas.
Hajiji turut menyeru orang ramai supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan keselamatan, serta memberikan kerjasama penuh kepada pasukan penyelamat, khususnya di kawasan berisiko tinggi.
Beliau menegaskan bahawa dalam keadaan cuaca tidak menentu dan keadaan lapangan yang terus berubah, semua pihak harus berganding bahu bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat terpelihara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram