
SELEPAS 18 jam operasi mencari dan menyelamat tanpa henti, mayat Kemiey Asphereynda Benny akhirnya berjaya ditemui di bawah runtuhan tanah runtuh yang menimpa rumahnya di Papar, Sabah pada Isnin (15 September).
Mangsa berusia 10 tahun itu merupakan korban terakhir yang ditemui selepas ibunya, Wong Moi Ling, 34, dan adiknya, Christen Kell Benny, 6, dijumpai selang beberapa minit pada awal petang Isnin.
Pasukan penyelamat bergegas ke Kampung Marahang Tuntul selepas menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 9.20 pagi.
BACA LAGI: Sambutan Hari Malaysia dibatalkan, fokus bantu mangsa banjir di Sabah
BACA LAGI: [VIDEO] 13 jam 'blackout', bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah pulih berperingkat
Sebaik sahaja pasukan penyelamat tiba, rumah keluarga berkenaan sudah pun ranap dan tertimbus di bawah timbunan tanah.
"Mereka semua terperangkap di bawah runtuhan. Mangsa pertama ditemui pada pukul 4.20 petang, mangsa kedua lima minit kemudian, dan mangsa terakhir pada pukul 8.45 malam," kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd Pisar Aziz.
Anggota bomba, tentera, polis dan pasukan kecemasan lain berusaha tanpa mengenal penat lelah dalam keadaan hujan dan lumpur dengan harapan dapat menyelamatkan keluarga berkenaan.
Namun, ketiga-tiga mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan.
Operasi yang melibatkan lebih sedozen penyelamat itu berakhir pada pukul 2.05 pagi Selasa (16 September).
Tragedi terbabit menambah jumlah korban tanah runtuh dan banjir di Sabah, yang kini sudah meragut 12 nyawa.
Jumlah penduduk terjejas bencana banjir di Sabah terus meningkat.
Dalam kejadian lain, seorang wanita berusia 38 tahun, Emily Johnny, dan anak lelakinya yang berusia 11 tahun, Xarell Myre Aristotle, maut apabila tanah runtuh menimpa rumah mereka di Kampung Mook, Papar.
Suaminya sebelum itu sempat merayu dalam sebuah video berdurasi 26 saat yang tular, meminta bantuan jentera penggali untuk menyelamatkan keluarganya.
Beberapa jam kemudian, dia dilihat keletihan dan terkejut ketika mengenal pasti mayat isteri dan anaknya.
Tragedi terburuk berlaku di Kampung Cenderakasih, apabila 11 ahli keluarga tertimbus selepas tanah runtuh meranapkan rumah kayu mereka di penempatan setinggan di lereng bukit.
Empat orang terselamat, termasuk seorang yang patah kaki, manakala tujuh lagi iaitu tiga dewasa dan empat kanak-kanak terkorban.
Mangsa yang terselamat ialah Arman Abdullah, Fezrul Ikhwan, Abdullah Ayan dan seorang lagi dikenali sebagai Wajid yang berjaya dikeluarkan pada pukul 11 pagi.
Pada pukul 12.37 tengah hari, pasukan penyelamat menemui mayat Husaima Sarabani, 40, diikuti Abdul Halid, 50, serta tiga beradik Muhammad Izzan Abdullah, 7, Siti Katijah, 4, dan Muhamad Khan, 2, pada pukul 2.25 petang.
Pada pukul 3.28 petang, mayat Nur Iman, 9, ditemui, dan mangsa terakhir, Maslinah Abdul Halid, 24, dijumpai pada pukul 3.42 petang.
Pada Khamis lalu (11 September), seorang lelaki berusia 97 tahun menjadi korban pertama bencana ini selepas rumah separa kekal dua tingkat miliknya di Kampung Sarapung, Penampang, ditimpa tanah runtuh.
Pasukan bomba terpaksa berjalan kaki sejauh tiga kilometer untuk ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan sekitar jam 6.30 petang, dan menemui mayat mangsa pada keesokan harinya.
Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor mengumumkan pembatalan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri yang dijadualkan pada Selasa (16 September) bagi memberi tumpuan menggerakkan bantuan kepada ribuan penduduk yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh di sekurang-kurangnya lima daerah.
"Dalam saat sukar ini, kesejahteraan, kebajikan dan keselamatan rakyat adalah paling utama. Kita mesti menumpukan sepenuh perhatian dan sumber kepada mereka yang terjejas," katanya pada Isnin (15 September).
Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor.
Beliau turut mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri untuk sentiasa berwaspada sepenuhnya dan bersedia mengambil tindakan segera memandangkan keadaan cuaca masih tidak menentu.
Sementara itu, menurut infografik Angkatan Pertahanan Awam (APM), jumlah mangsa yang dipindahkan telah meningkat kepada 2,468 orang daripada 656 keluarga di 95 kampung di Beaufort, Penampang, Membakut, Papar dan Putatan.
Penampang mencatat jumlah pemindahan tertinggi dengan 958 orang daripada 239 keluarga, diikuti Membakut (611 orang daripada 172 keluarga), Putatan (456 orang daripada 113 keluarga), Beaufort (273 orang daripada 83 keluarga) dan Papar (170 orang daripada 49 keluarga).
Sebanyak 20 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka iaitu lapan di Penampang, empat masing-masing di Putatan dan Membakut, tiga di Papar dan satu di Beaufort. — The Star/Sandra Sokial
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram