[VIDEO] Menteri Kesihatan Sweden rebah pada hari pertama bertugas


  • Benua
  • Rabu, 10 Sep 2025

Tangkap layar memaparkan detik Elisabet Lann rebah sewaktu sidang media berlangsung.

MENTERI Kesihatan Sweden yang baru dilantik, Elisabet Lann mengejutkan semua apabila tiba-tiba rebah ketika sidang media langsung pada Selasa, hanya beberapa jam selepas pengumuman pelantikannya sebagai anggota kabinet baharu.

Insiden tersebut berlaku di hadapan Perdana Menteri Ulf Kristersson, pemimpin Parti Demokrat Kristian Ebba Busch, serta puluhan wartawan dan pegawai kanan kerajaan.

Lann dilaporkan jatuh ke hadapan dan terhantuk pada podium sebelum rebah ke lantai menyebabkan sidang media dihentikan serta-merta.

BACA LAGI: Tak sampai 2 bulan uji taring Harimau Malaya, negara di barat Afrika kini selangkah ke Piala Dunia

BACA LAGI: [VIDEO] Bapa ‘Upin Ipin’ nekad tarik diri, pertikai budak semuda 8 tahun terpaksa beraksi bawah panas terik

Pasukan keselamatan dan pegawai kerajaan segera memberikan bantuan kecemasan, manakala Ebba Busch dilihat membantu meletakkan Lann dalam posisi pemulihan.

Selepas beberapa minit, Lann kembali sedar dan dibawa keluar dari bilik sidang media dan beliau kemudian muncul semula lalu menjelaskan bahawa insiden itu berpunca daripada penurunan paras gula dalam darah.

“Saya hanya mengalami penurunan gula darah. Ini boleh berlaku apabila berdiri terlalu lama,” katanya kepada media selepas pulih.

Pelantikan Lann sebagai Menteri Kesihatan susulan peletakan jawatan mengejut oleh Acko Ankarberg Johansson sehari sebelum itu.

Sebelum ini, Lann berkhidmat sebagai ahli majlis perbandaran Gothenburg dan dikenali kerana penglibatannya dalam isu kebajikan sosial serta reformasi kesihatan.

Insiden itu berlaku ketika sistem kesihatan Sweden sedang menghadapi kritikan hebat berikutan masa menunggu rawatan yang panjang serta kekurangan tenaga kerja.

Lann dijangka memainkan peranan penting dalam usaha kerajaan memperkukuh kawalan terhadap perkhidmatan kesihatan awam.

Walaupun tiada kecederaan serius dilaporkan, kejadian itu menimbulkan persoalan mengenai kesediaan Lann memikul tanggungjawab besar dalam sistem kesihatan negara yang sedang menghadapi pelbagai cabaran. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram