
SEMANGAT patriotik anak Malaysia terserlah apabila pelajar, Daniel Chiah Wei Yuan sekali lagi menjadi juara kategori sekolah menengah Sayembara Puisi Kemerdekaan Shah Alam 2025, pada 23 Ogos lalu.
Labih manis lagi, pelajar Tingkatan 2 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subang Utama dekat Subang Jaya, Selangor itu berjaya mengekalkan gelaran juara tiga tahun berturut-turut.
Segak berbaju Melayu cekak musang warna merah dan memakai tengkolok, Daniel berjaya mengetepikan lapan peserta lain menampilkan puisi penuh penghayatan tentang perjuangan kemerdekaan dan kecintaan terhadap tanah air.
BACA LAGI: Sengaja sembunyikan kes buli, ibu bapa boleh ambil tindakan mahkamah — Asyraf Wajdi
“Alhamdulillah, ini kali ketiga saya menyertai pertandingan ini dan mempertahankan gelaran juara. Saya berharap anak muda lebih menghayati bahasa kerana bahasa adalah jiwa bangsa,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah.
Menurutnya, kemerdekaan yang dikecapi hari ini adalah hasil pengorbanan generasi terdahulu yang wajar dihargai generasi muda.
“Sempena sambutan kemerdekaan ke-68 tahun ini, saya berharap anak muda lebih menghayati dan mendalami bahasa supaya kita dapat menerusi perjuangan dalam bahasa kerana mereka kata bahasa jiwa bangsa.
"Sempena sambutan kemerdekaan ke-68 tahun ini, saya juga berharap anak muda tidak lupa jasa nenek moyang yang bertungkus-lumus memperjuangkan kemerdekaan negara,” katanya.
Pertandingan tahunan itu diadakan bagi memupuk rasa cinta akan bahasa kebangsaan dan mengangkat seni puisi sebagai medium semangat patriotik dalam kalangan pelajar sekolah.
Dalam pertandingan itu, Daniel berjaya membawa pulang hadiang wang tunai bernilai RM600. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram