
KECENDERUNGAN sesetengah pengguna media sosial memuat naik video tanpa usul periksa semata-mata mengejar tontonan bukan sahaja menimbulkan salah faham, malah boleh mencetuskan fitnah serta memudaratkan pihak terlibat.
Terbaharu, tular sebuah video memaparkan pasukan bomba menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki dari kereta terbakar di Taman Industri Ringan Sri Mergong dekat Alor Setar, Kedah pada Isnin.
Melalui video yang dimuat itu turut mendakwa kononnya mangsa ditinggalkan ibu bapanya berseorangan di dalam kereta.
BACA LAGI: [VIDEO] Tabung gas oksigen bantuan pernafasan meletup punca kereta dinaiki 3 beranak terbakar di Alor Setar
BACA LAGI: Wanita parah, disyaki ditikam suami warga asing sebelum larikan diri di Banting
"Budak terbakar dalam kereta. Tinggal anak dalam kereta. Aircond (penghawa dingin) pasang.
"Overheat itu, mari kita jadikan ini sebagai pengajaran agar tidak tinggalkan anak dalam kereta.
"Jaga diri semua," menurut perkongsian itu.
Video lama, kesian parents budak ini kena fitnah. pic.twitter.com/xO7PkeBkFg
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) August 25, 2025
Namun, hasil siasatan Majoriti mendapati kejadian itu bukan berpunca daripada kecuaian ibu bapa seperti yang didakwa, sebaliknya disebabkan letupan tabung gas oksigen yang dibawa keluarga berkenaan pada 2023.
Dalam kejadian dua tahun lalu itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir pada ketika itu memaklumkan terdapat dua tong gas di dalam kereta itu yang berisi gas untuk kegunaan bantuan pernafasan.
Katanya, tiga beranak tersebut pergi ke lokasi untuk mengisi dua tabung gas bagi kegunaan bantuan pernafasan.
Selesai mengisi gas, kedua-dua tong gas dimasukkan ke dalam kereta untuk pulang ke kampung sebelah isteri di Kempas, Johor sebelum tong gas itu meletup.
Berikutan kejadian itu, tiga beranak masing-masing dikenali sebagai Tuah Omar, 54; Noor Azllina Abu Bakar, 34, dan Mohamad Firdaus, 5, melecur dalam kejadian tersebut.
Tuah dianggarkan melecur 80 peratus manakala isterinya melecur 30 peratus, sementara Mohamad Firdaus pula dianggarkan melecur sehingga 95 peratus.
Kes itu sekali lagi menjadi peringatan kepada masyarakat untuk menilai kesahihan sesuatu maklumat sebelum berkongsi di media sosial kerana tindakan tidak bertanggungjawab boleh mengundang fitnah dan menambahkan penderitaan kepada mangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram