
SEORANG kanak-kanak perempuan warga Filipina berusia lapan tahun dikhuatiri lemas selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dinaiki bersama ibu bapanya dihanyutkan kepala air dalam kejadian di Kampung Bumbung, Pitas, Sabah pada Rabu.
Mangsa, Angelina Kardin dilaporkan masih belum ditemui sehingga operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari ketiga pada Sabtu memetik laporan Utusan Borneo.
Menurut maklumat awal polis, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 malam ketika kenderaan mereka sedang melintasi sebuah jambatan sebelum dihanyutkan kepala air secara tiba-tiba menyebabkan kenderaan tersebut berpusing dan hilang kawalan.
BACA LAGI: [VIDEO] Naik angin lepas sia-sia kelebihan 2 gol lawan JDT, coach futsal Sabah ditumbuk staf sendiri
Difahamkan, Angelina sempat keluar daripada kenderaan namun dihanyutkan arus deras.
Ibunya yang cuba menyelamatkan mangsa turut dibawa arus dan ditemui meninggal dunia pada Khamis, tersangkut pada ranting kayu di Jambatan Kampung Nibang.
Sementara itu, bapa mangsa dapat menyelamatkan diri selepas berenang ke tebing tetapi gagal membantu kedua-duanya mangsa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas, Noor Jalil Maslah berkata, operasi SAR hari ketiga dimulakan pada pukul 9 pagi dengan kaedah pencarian 'follow the stream' menggunakan bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sejauh 1.5 kilometer di sepanjang Sungai Kampung Nibang.
“Pencarian turut dijalankan di tebing sungai sejauh satu kilometer dari lokasi penemuan mangsa pertama, namun masih tiada sebarang petunjuk baharu ditemui setakat ini,” katanya.
Operasi SAR yang disertai sembilan anggota bomba dengan dua jentera, selain bantuan dari polis dan APM, dihentikan sementara pada jam 3 petang dan akan disambung semula Ahad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram