
TERLELAP ketika memandu dipercayai menjadi punca kemalangan meragut empat sahabat selepas kereta dinaiki terbabas ke dalam parit sebelum melanggar tembok parit berkenaan di Jalan Sultan Suleiman Shah, Kampung Chodoi, Banting, Selangor.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, tiga mangsa yang disahkan meninggal dunia di lokasi, iaitu Muhamad Adib Anuar, 16; Muhamad Danish Shamsul Sharizan, 16; dan Hariz Nazri, 19.
Seorang lagi mangsa, Muhammad Danish Farhan Alias, 19, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Banting pada pukul 11 pagi.
BACA LAGI: Kes isteri Rafizi diugut: Polis jejak pemilik nombor telefon berdaftar guna nama warga asing
BACA LAGI: Gaji tak dibayar kelab Lembah Klang, bekas kapten Kedah antara pemain buat laporan polis
Manakala, dua rakan mereka iaitu Daniel Iqkwan Jalaluddin, 15, serta Danish Haikal Nazri, 17, yang juga adik kepada Hariz masih dirawat di hospital sama.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi berkata, siasatan mendapati semua mangsa menaiki kereta jenis Toyota Corolla dan dipercayai dalam perjalanan dari Pantai Morib menuju ke Batu 9 Kebun Baru, Telok Panglima Garang sebelum kemalangan berlaku.
“Apabila tiba di lokasi kejadian dipercayai pemandu kereta berusia 16 tahun telah hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan dan terbabas masuk ke dalam parit di bahu jalan lalu melanggar tembok parit tersebut.
“Siasatan awal mendapati punca kemalangan dipercayai daripada pemandu yang mengantuk dan terlelap ketika memandu,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan pada Sabtu.
Jelas beliau, impak kemalangan berkenaan menyebabkan pemandu dan masing-masing penumpang hadapan dan belakang maut di lokasi kejadian.
Tambah Akmalrizal, tiga lagi cedera parah dan kini menerima rawatan di Unit Kecamasan Hospital Banting.
"Bagaimanapun, seorang mangsa yang sedang dirawat disahkan meninggal meninggal dunia.
"Semakan mendapati pemandu kereta itu tidak mempunyai lesen memandu," ujarnya.
Kata beliau, kesemua waris mangsa yang terlibat dengan kemalangan, telah hadir membuat laporan polis dan telah dirakam percakapannya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor S. Taneswaran di talian 012-6708561 atau 03-31872222 serta mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram