‘Politik komang spanar’, MB dan Exco Terengganu tidak dibenarkan bersama peserta Himpunan RXZ 7.0


  • Massa
  • Jumaat, 22 Ogos 2025

Ahmad Samsuri (kanan) memohon maaf kerana tidak dapat menyertai himpunan motosikal RXZ.

HIMPUNAN besar-besaran peminat motosikal RXZ di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu pada Jumaat dan Sabtu berlangsung tanpa penglibatan wakil kerajaan negeri berkenaan, berbeza dengan penganjuran sebelum ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan perkara berkenaan menerusi satu hantaran di laman sosial rasminya pada Jumaat.

Dalam perkongsian tersebut, beliau memohon maaf kepada ribuan peminat motosikal itu dari seluruh negara dan luar negara yang hadir kerana tidak dapat menyertai acara tahunan yang amat dinantikan itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Jururawat maut motosikal terbabas ke himpunan RXZ, rakan beritahu arwah pemurah suka kongsi rezeki

BACA LAGI: [VIDEO] 'Elok dah tak payah buat', perhimpunan RXZ Members tak ubah seperti 'pesta bulls' di Sepanyol

"Selamat datang dan bertandang ke Negeri Terengganu dari saya pada semua peserta RXZ 7.0 kali ini. Saya doakan agar semua peserta selamat dan program berjalan dengan baik dan teratur.

"Saya mohon maaf kerana tidak dapat bersama menunggang RXZ bagi meraikan semua peserta.

"Apa nak buat, bila politik memanjang 24 jam sehari dengan syarat itu dan ini, akhirnya saya dan pimpinan Kerajaan Negeri yang sentiasa dengan anda semua telah ditiadakan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat. 

Ahmad Samsuri turut menegaskan bahawa ketiadaan penglibatan kerajaan negeri dalam program itu adalah gambaran kepada amalan politik sempit, apabila ada pihak dilihat cuba mempolitikkan penganjuran himpunan berkenaan.

Tangkap layar hantaran dari Ahmad Samsuri. 

"Akhirnya tak pasal pasal RXZ menjadi mangsa politik cemburu orang Putrajaya/Kuala Lumpur (KL). 

"Ini lah contoh politik low class yang saya selalu sebut. Orang di Terengganu sebut 'politik komang spanar'," tambahnya lagi. 

Walaupun tidak dapat hadir, Ahmad Samsuri menitipkan sembilan pesanan kepada peserta, antaranya menunggang motosikal dengan berhati-hati, mengutamakan keselamatan serta menjaga ibadah solat sepanjang perjalanan.

"Tungganglah motor dengan hati-hati dan cermat. Semoga selamat sampai dan pulang.

"Jangan lupa jaga solat dan amalkan kebaikan sepanjang perjalanan," tulisnya. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram