Masyuk jual minyak masak terpakai, cek sini 7 tempat boleh kitar semula, 'door-to door collection' pun ada!


  • Bisnes
  • Rabu, 20 Ogos 2025

Orang ramai boleh menjual minyak masak terpakai dan mendapatkan duit poket menerusi amalan kitar semula. — Threads

SEMAKIN ramai menyedari tentang kelebihan kitar semula barangan seperti minyak masak terpakai, kotak kadbod, botol baca dan plastik serta barangan elektrik dan elektronik.

Harga bagi minyak masak terpakai yang boleh mencecah harga RM3 hingga RM3.70 sekilogram (kg) menjadikannya antara barangan yang paling 'masyuk' atau menguntungkan jika dikitar semula.

Selain Pusat Kitar Semula Alam Flora, banyak lagi tempat lain yang boleh dikunjungi untuk mengitar semula minyak masak terpakai.

BACA LAGI: Perkenal latte bandung dan gula melaka, elemen nostalgia Koppiku pikat cita rasa pelanggan

BACA LAGI: Touch 'n Go eWallet 'tebal' hasil 'recycle', buat duit bonus hujung minggu melalui kitar semula

Berikut adalah beberapa cara untuk mengitar semula minyak masak terpakai:

 

1. Stesen Petronas

Beberapa stesen Petronas di seluruh Malaysia menerima minyak masak terpakai dan membayar anda mengikut isipadu minyak yang dihantar.

Kunjungi laman web Petronas untuk mengetahui stesen berhampiran yang menerima minyak masak terpakai.

Lokasinya meliputi seluruh negeri di Malaysia termasuk Johor dan Pahang. Bahkan Petronas turut menawarkan masa dan hari yang ditetapkan untuk memudahkan pengguna.

2. Alam Flora

Anda boleh menghantar minyak masak terpakai ke pusat pengumpulan Alam Flora atau menggunakan perkhidmatan 'pick-up' 3R on Wheels (3RoW) di sekitar Lembah Klang dan Pahang.

Kunjungi laman web Alam Flora Buy Back Centre (BBC) untuk mengetahui lokasi pusat kitar semula.

Senarai BBC Alam Flora yang aktif untuk program kitar semula.

Selain minyak masak kotor dan terpakai, anda juga boleh mengitar semula perkakas elektrik dan elektronik yang tidak digunakan lagi seperti penyaman udara (RM9.50/seunit), motherboard komputer (RM15/seunit), CPU (RM5/seunit), televisyen LED/LCD (RM4/seunit) dan tin aluminium (RM3.50/kg).

3. Arjuna Synergy HQ

Bagi pengusaha restoran, gerai dan kedai makan, anda boleh menggunakan khidmat Arjuna Synergy HQ kerana mereka akan letak tong minyak di premis masing-masing.

Apabila tong penuh, anda hanya perlu hubungi mereka dan pembayaran akan dibuat secara on the spot!

Orang awam juga boleh berbuat demikian kerana Arjuna Synergy menawarkan pembelian minyak masak terpakai di lokasi tertentu meliputi Lembah Klang.

4. Arus Oil

Arus Oil menyediakan perkhidmatan pengumpulan door-to-door yang membolehkan pengguna menetapkan masa dan tarikh sesuai jika tidak sempat ke pusat kitar semula.

Anda hanya perlu membuat akaun di laman web Arus Oil dan jadualkan janji temu untuk pengumpulan minyak masak terpakai sekurang-kurangnya 5kg.

Isi hari dan masa pilihan selain sertakan alamat bagi membolehkan pasukan logistik Arus Oil mengatur pengambilan.

5. FatHopes Energy

FatHopes antara entiti yang bekerjasama dengan Grab untuk membantu perniagaan melupuskan sisa minyak masak anda di samping menjana wang.

Selain perniagaan, orang awam juga boleh berbuat demikian dengan menghubungi ejen mereka untuk drop off minyak masak terpakai.

Anda boleh mendapat wang tunai hasil penjualan minyak masak terpakai berdasarkan berat timbangan.

6. Trash4Cash

Perkhidmatan kelolaan Bumi Waste Management (M) Sdn Bhd ini menawarkan beberapa kaedah antaranya menerusi tong kitar semula, ADTReC atau Automatic Drive Thru Recycling Center dan pengumpulan pintu ke pintu. 

Pengguna juga boleh datang sini ke lokasi mereka di alamat No. 10, Jalan Kesuma 2/1 Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Selangor atau layari Trash4Cash

7. Majlis Perbandaran

Semak dengan majlis perbandaran tempatan anda kerana mereka mungkin mempunyai program pengumpulan minyak terpakai.

Penting untuk tidak membuang minyak masak terpakai ke dalam sinki atau longkang kerana ia boleh mencemarkan alam sekitar.

Kitar semula minyak masak terpakai membantu mengurangkan pencemaran dan mempromosikan ekonomi kitaran selain menjana keuntungan buat seisi rumah. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram