Mungkin ada dalang di sebalik Geng Budak Sekolah jual bahan lucah di WhatsApp — Saifuddin


  • Massa
  • Rabu, 20 Ogos 2025

Saifuddin mendedahkan polis melumpuhkan kumpulan dikenali sebagai 'Geng Budak Sekolah' yang terlibat dalam jenayah seksual. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

SIASATAN lanjut berhubung jenayah seksual membabitkan kanak-kanak selepas membongkar kumpulan dikenali sebagai 'Geng Budak Sekolah' kini dalam perhatian pihak polis.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang memberitahu siasatan dikendalikan oleh D11 (Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) Bukit Aman.

Beliau berkata, siasatan terhadap kumpulan terbabit perlu dijalankan dengan teliti kerana ia melibatkan kanak-kanak.

BACA LAGI: 'Bukan sebab VVIP, perkara tersembunyi', peguam sahkan mahkamah perintah larangan bersuara prosiding kes Zara Qairina

BACA LAGI: Kes buli Zara Qairina: 5 remaja mengaku tak bersalah

"Ada kaedah untuk mengendalikan kes membabitkan kanak-kanak. Gambar tidak boleh dikongsi, nama tidak boleh disebut dan sebagainya.

"Menguruskan kes melibatkan kanak-kanak adalah proses rumit yang perlu kita fahami, mengambil kira umur, tahap pemikiran dan apa yang mendorong mereka melakukan perkara sebegitu.

"(Perlu ambil kira) apa yang membuatkan mereka membuat keputusan untuk berhenti sekolah,  semua itu perlu diteliti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia peringkat KDN pada Rabu (20 Ogos).

Sementara itu, ketika ditanya sama ada terdapat dalang di sebalik kanak-kanak terbabit dalam jenayah seksual itu, Saifudin berkata perkara itu masih belum dapat dipastikan.

Beliau berkata, modus operandi kumpulan itu adalah menggunakan WhatsApp sebagai platform untuk menjual bahan eksplisit dalam kalangan lebih 700 ahlinya.

“Siasatan masih diteruskan dan pastinya akan mengambil sedikit masa, tetapi sekurang-kurangnya kita sudah tahu modus operandinya.

"Apakah tujuannya? Ada yang terdorong untuk menggunakannya sebagai sumber pendapatan, tetapi mereka memasarkan hanya dalam kumpulan, sangat berahsia," katanya.

Di Dewan Rakyat pada Selasa (19 Ogos), Saifuddin mendedahkan polis telah melumpuhkan kumpulan dikenali sebagai 'Geng Budak Sekolah' yang terlibat dalam jenayah seksual termasuk kes melibatkan seorang gadis berusia 12 tahun. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram