
GOLONGAN lelaki Islam di Terengganu yang sengaja meninggalkan solat Jumaat tanpa alasan munasabah boleh didenda maksimum RM3,000, selain penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Beliau berkata, hukuman itu selaras dengan pindaan Enakmen Jenayah Syariah (Takzir) 2016 yang mula berkuat kuasa selepas digubal beberapa tahun lalu.
BACA LAGI: Touch 'n Go eWallet 'tebal' hasil 'recycle', buat duit bonus hujung minggu melalui kitar semula
Sebelum pindaan dibuat, lelaki Islam yang tidak hadir solat Jumaat tiga kali berturut-turut boleh dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa agama.
Dengan pindaan terbaru itu, Muhammad Khalil berkata, individu terbabit sudah boleh dikenakan tindakan mengikut perundangan yang ditetapkan walau jika tidak hadir sekali pun.
"Hukuman hanya akan dikenakan sebagai jalan terakhir sekiranya peringatan tidak diendahkan individu yang culas menunaikan kewajipan itu," katanya.
Mengulas lanjut, Muhammad Khalil berkata, kain rentang peringatan mengenai perkara itu akan dipasang di pekarangan masjid seluruh negeri bertujuan memberi amaran jelas mengenai kewajipan menunaikan solat Jumaat.
Beliau menyeru umat Islam di Terengganu untuk melihat pelaksanaan undang-undang itu sebagai usaha mendidik dan menjaga martabat agama Islam khususnya dalam membentuk kesedaran generasi muda.
"Tindakan penguatkuasaan boleh diambil melalui laporan orang awam atau menerusi rondaan serta operasi bersepadu pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bersama pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Seksyen ini sudah ada masa permulaan undang-undang digubal pada tahun 2001, kemudian berlaku pindaan pada 2016," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram