Jangan politikkan kematian mangsa buli, amaran Anwar


  • Massa
  • Isnin, 18 Ogos 2025

Anwar semasa Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya. — Pejabat Perdana Menteri

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan kematian mangsa buli sebagai senjata politik.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, tindakan menggunakan kematian mangsa buli untuk tujuan penipuan dan hasutan adalah perbuatan yang tidak boleh diterima sama sekali.

BACA LAGI: Inkues Zara Qairina ditetapkan September depan

BACA LAGI: [VIDEO] Restoran di Jitra tawar RM30,000 kepada pemberi maklumat kes Zara Qairina

"Soal media sosial ini, kita kawal (tapi) ada batasnya. Umpamanya yang terbaharu, seseorang yang kata dia itu doktor patologi bagi gambaran (bedah siasat Zara Qairina Mahathir) dan ini meracuni pemikiran jutaan orang sehingga ada rakan, isteri, sahabat bertanya PM (Perdana Menteri) apa ini?

"Orang itu (Zara Qairina) dah terkorban, kemudian kita jadikan ini sebagai satu senjata politik untuk menikam orang lain. Kalau benar tak apa, mana boleh kita mainkan (isu ini) seolah kematian orang itu (digunakan untuk) menipu dan menghasut sebegitu rupa," katanya.

Anwar berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya pada Isnin.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Perdana Menteri tidak menolak kemungkinan berlaku beberapa kelemahan dalam pengendalian kes kematian pelajar Zara Qairina di Sabah pada 17 Julai lepas, termasuk dari segi siasatan serta wujud beberapa kelewatan tertentu, namun menegaskan pihak berkuasa sedang menanganinya dengan sebaik mungkin.

"Saya, TPM (Timbalan Perdana Menteri) Fadillah, TPM Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dah keluarkan kenyataan dan kita sudah adakan mesyuarat peringkat tertinggi untuk pastikan siasatan telus," jelasnya.

Mengulas mengenai budaya buli, Anwar menegaskan budaya itu perlu dihentikan sepenuhnya kerana ia penderaan berbentuk psikologi dan fizikal yang memberi impak besar terhadap masyarakat.

"Kemelut dalam negara terutama beberapa kes kematian anak-anak kita, anak kita Zara (Qairina) di Sabah, Faris (Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman) di Kelantan dan beberapa kes lain yang disebut (sebagai) kes buli.

"Buli ini (berbentuk) penderaan psikologi dan fizikal sama ada di sekolah, universiti, pejabat, Kementerian Kesihatan (KKM), (budaya) ini mesti dihentikan kerana ia kebejatan (meliputi) penghinaan sama ada atas peribadi seseorang, warna kulitnya dan pelbagai," ujarnya.

YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim. semasa Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya. 18 Ogos 2025. AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri.NO SALES; NO ARCHIVE; RESTRICTED TO EDITORIAL USE ONLY. NOTE TO EDITORS: This handout photos may only be used for editorial reporting purposes for the contemporaneous illustration of events, things or the people in the image or facts mentioned in the caption. Reuse of the pictures may require further permissi

Anwar bersama Fadillah selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya. — Pejabat Perdana Menteri

Semalam, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengenal pasti identiti seorang pengguna TikTok mendakwa dirinya sebagai pakar bedah yang terlibat dalam kes Zara Qairina.

Fahmi dilaporkan berkata, individu berkenaan mendakwa dirinya hadir pada proses bedah siasat jenazah pelajar tingkatan satu itu pada 10 Ogos lepas, namun semakan KKM mengesahkan individu itu bukan seorang doktor pakar mahupun petugas KKM.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah, pada 17 Julai selepas dimasukkan ke hospital, setelah dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar pada 4 pagi, 16 Julai. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram