Jual online lebih mahal berbanding kedai, graduan universiti kini jutawan hasil jual kerepek pisang berperisa di kampung


  • Bisnes
  • Sabtu, 16 Ogos 2025

Fahrizal mampu meraih pendapatan mencecah puluhan dan ratusan juta Rupiah di usia 24 tahun. — Agensi

 

 

MENCAPAI kejayaan bukanlah sekadar diam atau mengharapkan durian runtuh.

Seorang jejaka muda dari Kulon Progo, Yogyakarta, Indonesia membuktikan bahawa kejayaan memerlukan usaha, keberanian, doa dan bukan hanya menunggu nasib atau peluang daripada orang lain.

Memulakan langkah selepas menamatkan pengajian pada 2023, Fahrizal Ali Imran kini memiliki perniagaan sendiri di usia 24 tahun.

BACA LAGI: 'Minta mak doakan, jangan kasar dengan isteri', lelaki kongsi tip selalu menang besar dalam peraduan

 

 

BACA LAGI: Pasangan bina 'tiny house', mesra alam luar bandar, sanggup belanja kos RM1.21 juta

Perniagaan kerepek pisang dengan pelbagai perisa oleh Fahrizal Ali Imran. — Agensi

Fahrizal juga berjaya mencipta peluang pekerjaan menerusi perniagaan kerepek pisang berperisa di sekitar kampungnya di Kampung Pengasih, Kulon Progo.

Idea kerepek pisang berperisa

Katanya, segalanya bermula selepas menyertai aktiviti kuliah kerja hakiki (KKN) ketika bergelar pelajar Universiti Pembangunan Nasional (UPN) Veteran Yogyakarta.

Idea kerepek pisang berperisa itu juga muncul ketika Fahrizal sedang menjalani latihan kerja lapangan (PKL) di sebuah syarikat penerokaan geoterma.

Syarikat geoterma biasanya terlibat dalam pembangunan dan pengoperasian loji janakuasa geoterma, penerokaan dan penggunaan tenaga haba bumi untuk tujuan seperti pemanasan dan penyejukan.

Pisang kepok sebagai bahan utama untuk menghasilkan kerepeknya. — Agensi

Fahrizal juga mula tertarik dengan snek mi lidi yang kerap dibeli oleh pekerja syarikat itu.

"Itu menjadi inspirasi saya untuk membuat sendiri mi lidi dan menjualnya.

"Ia ternyata menguntungkan," katanya.

Ia tidak berhenti di situ, percubaan demi percubaan dilakukan sehingga formula jem terhasil.

Fahrizal kemudian mencuba membuat mi lidi yang serupa tetapi ditambah dengan perisa tambahan seperti coklat, strawberi dan matcha untuk dipasarkan dalam talian.

Daripada mi lidi, Fahrizal terus berinovasi menggunakan bahan lain.

Selepas beberapa kali, Fahrizal akhirnya menyedari bahawa kerepek pisang ternyata lebih sesuai dan sedap apabila dicampur dengan perisa tersebut.

"Selama dua bulan saya menjual mi lidi pelbagai perisa dan bereksperimen dengan kerepek pisang.

"Saya ternampak seorang wanita menjual pisang di hadapan rumah saya, jadi cuba membuat kerepek dan dicampur dengan semua perisa itu dan ternyata lebih sedap," jelasnya.

Proses menggoreng kerepek pisang. — Agensi

Kerepek pisangnya juga dipastikan tahan lama tanpa bahan pengawet tiruan.

Berkat produk inovatifnya, Fahrizal juga mampu mengupah beberapa seramai 20 orang pekerja dan kilang sendiri untuk menghasilkan produknya setiap hari.

Kesemua pekerja itu ditugaskan bermula daripada proses mengupas pisang kepok mentah, menghiris, membersih, menggoreng, mencampurkan dengan perisa sedia ada sehingga ke pembungkusan.

"Guna pisang kepok mentah boleh habis satu tan dalam masa dua hari.

"Pisangnya akan dipotong menjadi kepingan kecil bersaiz duit syiling.

"Setelah siap, hirisan pisang yang kini dalam bentuk kerepek disalut dengan pelbagai perasa cecair berperisa.

"Perisanya adalah coklat, matcha, tiramisu, strawberi, hazelnut, keledek, mangga dan vanila.

"Yang paling popular adalah coklat, matcha dan hazelnut," katanya lagi.

Antara perisa yang menjadi pilihan pelanggan. — Agensi

Fahrizal berkata, kerepeknya juga mempunyai tekstur yang rangup walaupun dicampur dengan perasa cair dan boleh bertahan sehingga sebulan.

Dengan permintaan yang tinggi, tidak hairanlah Fahrizal mampu memperoleh keuntungan mencecah puluhan hingga ratusan juta rupiah (RP) setiap bulan.

"Ia tidak dapat diramal kerana ada masanya sibuk ada juga senyap.

"Boleh mencecah ratusan juta RP terutama pada Hari Raya Aidilfitri," katanya.

Fahrizal berkata, produk kerepek pisang dengan pelbagai perisanya turut dipasarkan di seluruh Indonesia dengan harga bermula pada RM3.91 (RP15,000) jika dibeli di kedai dan RM4.56 (RP17,500) secara dalam talian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram