
AHLI Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menyatakan dirinya tidak akan berundur sebentar susulan serangan dialami keluarganya di sebuah pusat beli belah di Putrajaya pada Rabu.
Dalam sebuah video dimuat naik di Facebook peribadinya, ahli politik berusia 47 tahun itu menegaskan beberapa pihak memintanya agar berehat, tetapi saranan tersebut tidak sesuai dilakukan ketika ini.
"Saya bukanlah tidak ada hati perut dan pentingkan politik semata-mata dalam keadaan sekarang. Tetapi, matlamat ugutan terhadap keluarga saya ialah supaya saya putus asa dan duduk berdiam diri.
BACA LAGI: Keterangan doktor dirakam, polis sedang kesan pemilik nombor telefon hantar mesej ugut isteri Rafizi
BACA LAGI: Suntikan misteri: Rafizi sekeluarga terpaksa lalui 6 bulan penuh debaran
"Jika saya tidak meneruskan rutin dan tanggungjawab seperti biasa, maka tercapailah matlamat mereka. Jadi, esok (Sabtu) pun saya akan teruskan kaunter bergerak di pasar pagi Taman Muda, Pandan," katanya.
Sebelum ini, Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi percaya serangan terhadap anaknya mempunyai kaitan dengan pertemuannya bersama sekumpulan pemberi maklumat (whistleblower) mengenai satu skandal kewangan.
Beliau berkata, tindakan tersebut juga merupakan amaran dan usaha untuk menutup mulutnya daripada terus membongkar perkara berkenaan.
Malah, ketika ditanya sama ada skandal itu mempunyai kaitan dengan mana-mana ahli politik, Rafizi menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan lanjut.
Rafizi turut memaklumkan akan tampil dalam podcast Yang Bakar Menteri (YBM) malam ini bersama dua tetamu iaitu Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail, dan aktivis pendidikan, Victor.
Antara topik yang bakal dibincangkan termasuk insiden serangan terhadap keluarganya, ancaman budaya buli, dan isu-isu pendidikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram