
KEJADIAN yang menimpa anak Datuk Seri Rafizi Ramli memberi kesan bukan sahaja kepada familinya, malahan masyarakat keseluruhannya.
Insiden di ruang letak kereta di sebuah pasar raya di Putrajaya itu tidak berakhir di situ, tetapi disusuli dengan dua mesej ugutan.
Tidak hairanlah apabila Rafizi tiba-tiba sebak pada sidang media di lobi Parlimen, Khamis saat terlintas di fikirannya pelbagai dugaan yang dilalui bersama isteri dan anaknya selama ini.
BACA LAGI: 'Percubaan jahat dan khianat', PM arah KDN siasat serangan misteri libat anak Rafizi
BACA LAGI: Anak Rafizi Ramli dicucuk jarum suntikan dalam serangan misteri di Putrajaya
"Isteri dan anak saya telah lalui pelbagai termasuk ketika saya dipenjarakan.
"Isteri atau anak saya jarang muncul bersama saya dan kami jalani kehidupan secara normal, privacy. Tetapi sekarang kami perlu hidup dengan kawalan keselamatan," katanya.
Pada Rabu, seluruh negara dikejutkan dengan kejadian serangan terhadap anak lelaki Rafizi ketika dia bersama ibunya.
Dalam kejadian pukul 1.45 petang itu, anaknya diseret sebelum dicucuk dengan jarum suntikan yang tidak diketahui kandungannya.
Hasil pemeriksaan awal mendapati, dua lelaki bermotosikal mengekori kereta isterinya sebelum melakukan serangan itu.
Setakat laporan ini dibuat, pihak polis telah memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan sedang memeriksa nombor telefon yang digunakan untuk menghantar mesej ugutan kepada isteri Rafizi.
Lebih menyedihkan apabila keluarga Rafizi berdepan dengan kegusaran untuk tempoh lama apabila perlu menunggu sehingga enam bulan untuk mengetahui apa sebenarnya yang disuntik ke tubuh anak tunggalnya.
"Kami perlu lalui selama enam bulan, dengan ujian darah setiap enam minggu dan kemudian tiga bulan untuk mengetahui bahan yang disuntik, sama ada dadah atau racun, bahan viral atau sekadar air kosong.
"Tetapi untuk 24 jam pertama ini, tak nampak adanya kesan berkaitan dadah atau racun," katanya bekas Menteri Ekonomi itu.
Beliau juga mendedahkan isterinya menerima mesej berbaur ugutan iaitu 'Diam, jika teruskan, AIDS,' selepas anak lelaki mereka yang berusia 12 tahun diserang.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, isterinya menerima mesej ugutan pertama pada pukul 1.12 pagi tadi, disusuli satu lagi pada pukul 11.02 pagi Khamis.
"Mesej kedua dihantar melalui WhatsApp nombor yang sama. Mesejnya sama, 'Diam, andai teruskan AIDS', kemudian emoji picagari tiga kali," katanya.
Kata Rafizi, kelantangannya mendedahkan pelbagai skandal dipercayai antara punca kejadian berkenaan hingga pihak terlibat merancang memberi tekanan kepada anak dan isterinya.
"Selama ini saya tidak pernah dapat ugutan dan minggu lepas saya ada berjumpa dengan kumpulan wisel blower.
"Ini fakta yang untuk polis siasat sama ada ia mempunyai kaitan dengan kejadian yang menimpa anak saya," katanya.
Malahan, beliau juga memaklumkan baru saja berpindah ke rumah baharu dan tidak ramai yang tahu mengenainya.
"Mungkin ada pemantauan beberapa hari, dilakukan pihak professional dengan rancangan rapi, macam drama Korea," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram