[VIDEO] Deretan kereta tersadai di Cyberjaya disyaki milik pelajar warga asing, selamba tinggalkan lepas tamat pengajian


  • Massa
  • Selasa, 12 Ogos 2025

Tangkap layar dari video dirakam pengguna TikTok tersebut mempamerkan dereta kereta terbengkalai.

ISU kereta terbengkalai boleh mencetuskan pelbagai masalah kepada pengguna jalan raya lain kerana ia boleh mengganggu laluan kenderaan kerana diparkir di kawasan yang tidak sepatutnya .

Selain itu, kehadiran kenderaan terbiar itu mampu mengakibatkan kesesakan sekiranya tiada sebarang tindakan diambil pihak bertanggungjawab terutama untuk segera mengalihkannya.

Itulah situasi yang dialami penduduk sekitar Cyberjaya, Sepang di Selangor apabila terdapat lambakan kereta terbengkalai di bahu jalan sehingga menyebabkan kesusahan terhadap pengguna jalan raya.

BACA LAGI: Lupus kereta terbengkalai ikut saluran betul boleh janjikan habuan ribuan ringgit

BACA LAGI: [VIDEO] Kereta buruk tersidai tepi jalan dah bertahun-tahun, sampai bila PBT nak buat 'donno'?

Kehadiran kenderaan terbengkalai di bahu jalan boleh menyukarkan pengguna lain.

Namun, persoalan yang bermain di fikiran adalah mengapa pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mengambil sebarang tindakan untuk mengalihkan kereta yang sudah bertahun-tahun terbiar.

Tanda tanya itu dipanjangkan seorang pengguna TikTok, Bioqueen99 yang mengutarakan  perkara berkenaan selepas mendapati kenderaan terbengkalai mengalami kerosakan teruk.

"Mana pemilik kereta ini semua? Cermin pecah, tayar dan lampu hilang, adakah ini hanya kereta sewa? Barang bersepah sehingga bertaburan atas jalan raya, apa yang dah berlaku?" soalnya.

Berdasarkan video berdurasi kurang dari seminit tersebut, kelihatan beberapa jenis kereta ditinggalkan dengan hampir kesemuanya ialah model tempatan.

Kelihatan juga notis ditinggalkan Majlis Perbandaran Sepang (MPS) bertarikh 2 Ogos lalu yang menunjukkan PBT sudah mula mengambil tindakan seperti mana diharapkan penduduk setempat.

Persoalan berhubung pemilik kereta juga dijawab pengguna media sosial lain dengan masing-masing beranggapan kenderaan tersebut adalah milik pelajar luar negara yang datang dan menuntut di universiti tempatan.

Keputusan untuk membiarkan kenderaan milik mereka tersadai di tepi jalan seperti dibuat selepas menamatkan pengajian kerana tidak mahu menguruskannya dengan baik.

"Kemungkinan milik pelajar dari luar negara yang beli kereta itu secara tunai. Selepas habis pengajian atau visa sudah tamat tempoh, mereka akan tinggalkan begitu sahaja," kata Khairul.

"Ini kereta pelajar luar negara yang sudah habis belajar dan tinggalkan begitu sahaja kerana ketika dibeli pun ditawarkan harga murah. Mungkin hanya RM3,000 sahaja," kata Pemimpin di Masa Depan.

Tanggapan dibuat di media sosial itu seakan-akan tepat kerana isu sedemikian turut dialami di pelbagai kawasan lain, terutamanya jika terdapat institut pendidikan tinggi swasta yang menerima kehadiran penuntut luar negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram