
SEHINGGA hari ini, semakin ramai rakyat tempatan bangkit menuntut keadilan buat arwah Zara Qairina Mahathir yang meninggal dunia selepas dipercayai menjadi mangsa buli di SMKA Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah pada 17 Julai.
Antara langkah diambil orang ramai adalah dengan mengadakan himpunan aman bagi mendesak pihak berkuasa melakukan siasatan secara telus dalam mencari pelaku di sebalik kematian Allahyarham.
Tidak cukup dengan itu, kempen kesedaran turut dilancarkan di media sosial menggunakan pelbagai platform dan medium supaya lebih ramai turut serta menuntut keadilan buat arwah.
BACA LAGI: Bukit Aman hantar 9 pegawai ke Sabah, tubuh pasukan khas ambil alih kes Zara Qairina
BACA LAGI: Sudah lama tukar sekolah, bapa pelajar difitnah pembuli Zara Qairina nekad failkan saman
Ini termasuk usaha menghasilkan sebuah lagu khas untuk kempen tersebut yang ketika ini kerap didengari, terutamanya di aplikasi TikTok dengan lirik dihasilkan jelas menyentuh hati pengguna.
Lagu dimaksudkan adalah bertajuk Justice for Zara ciptaan Norsalim Ali yang mula dikongsikan di media sosial bermula Jumaat lalu, namun sudah dikongsikan ratusan kali.
Bukan itu sahaja, sebuah stesen radio tempatan juga pernah menyiarkan lagu tersebut baru-baru ini yang menceritakan makna disampaikan mula menyentuh hati orang ramai.
"Saya selalu dengar macam-macam kes buli dalam negara. Kes Zara Qairina ini pula saya boleh katakan luar biasa sedikit, jadi tercetuslah ilham saya untuk membuat lagu ini. Lirik saya hasilkan, tetapi melodi itu disunting sedikit menggunakan kecerdasan buatan (AI).
"Saya mewakili suara rakyat Malaysia yang mahukan keadilan kepada semua mangsa buli dalam negara. Mesej yang mahu saya sampaikan adalah hapuskan buli di Malaysia," katanya kepada sebuah stesen radio ketika ditanya mengenai lagu dihasilkannya itu.
Beberapa himpunan sudah diadakan bagi menuntut keadilan buat arwah Zara Qairina.
Melihat kepada hantaran lampau di media sosial, Norsalim sering memberi pandangan berhubung isu terkini selain berkongsi sisi peribadinya yang sedikit sebanyak menceritakan personalitinya.
Berdasarkan perkongsian di laman Facebook, pencipta lagu Justice for Zara itu sering memuat naik fotonya bersama anak dan cucu, lebih-lebih lagi pada musim perayaan.
Hantaran sedemikian menceritakan Norsalim sudah tentu tersentuh dengan kematian Allahyarhamah kerana dia sendiri mempunyai insan tersayang dalam dirinya.
Perkara tersebut dicerminkan menerusi bait lirik lagu berkenaan yang ditulisnya sendiri dengan pemilihan kosa kata dan mesej disampaikan mudah difahami pendengar.
Jenazah Allahyarhamah sudah digali semula bagi tujuan bedah siasat.
Pada 16 Julai lalu, arwah Zara Qairina ditemukan dalam keadaan tidak menyedarkan diri di sebuah longkang sekitar asrama sekolahnya dengan mangsa kemudian dihantar Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.
Waris Allahyarhamah dimaklumkan terdapat kecederaan dalaman yang serius serta kaki dan tangannya patah, namun tiada bedah siasat dilakukan ke atas mangsa dan dikebumikan pada keesokan harinya.
Bagaimanapun, selepas pelbagai desakan dibuat, jenazah digali semula pada Ahad lalu berdasarkan arahan Pejabat Peguam Negara (AGC) bagi membolehkan proses bedah siasat dilakukan.
Laporan dijangka diperoleh dalam masa kira-kira dua minggu lagi dengan orang ramai terus berkumpul sebagai tanda solidariti demi menuntut keadilan buat pelajar Tingkatan 1 itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram