
KERAJAAN menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di sekitar Empangan Bukit Merah, Perak pada Isnin.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, operasi itu dijalankan susulan paras air di empangan berkenaan berada pada tahap kritikal berikutan Monsun Barat Daya.
“Suasana sangat kritikal iaitu di Empangan Bukit Merah tahap kritikal pada 12.21 peratus, kedalaman air cuma tinggal 19.8 kaki (5.8 meter) sahaja. Mengikut laporan diberikan, di kawasan persekitaran terutamanya di sawah padi dan keperluan air domestik mengalami keadaan sangat memerlukan, jadi dengan bantuan Nadma bagi pembenihan awam dilakukan,” jelasnya.
BACA LAGI: [VIDEO] Tasik kering dikatakan punca kebakaran Bukit Merah belum terpadam masuk hari ke-2
BACA LAGI: [VIDEO] Empangan Bukit Merah cecah paras kritikal, berita buruk buat pesawah
Paras air di Empangan Bukit Merah mencecah tahap kritikal yang sememangnya merisaukan penduduk setempat.
Selain di Perak, OPA turut diadakan di dua negeri lain iaitu Pahang dan Kedah yang turut mengalami isu kekurangan taburan hujan disebabkan cuaca panas.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara turut mengikuti operasi terbabit yang menggunakan pesawat jenis C-130 milik TUDM pada Isnin.
Pesawat tersebut membawa empat tangki mengandungi 6,000 liter larutan garam Natrium Klorida yang berlepas berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Subang, Selangor kira-kira pukul 11.30 pagi.
Operasi penyemburan larutan garam dijalankan pada awan Kumulus Menara yang bergerak dari arah barat dan Selat Melaka menuju ke kawasan utara Semenanjung Malaysia.
“Sebelum saya sampai kembali ke Pangkalan Udara TUDM Subang, (kami terima) laporan daripada Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), 45 minit setelah semburan itu dilakukan hujan lebat telah berlaku.
“Jadi usaha saintifik dan dengan pertolongan ALLAH, kita harap pengairan sawah padi di kawasan itu, perikanan dan mitigasi air dapat diatasi,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengikuti Operasi Pembenihan Awan di Pangkalan Udara TUDM Subang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram