
SAKIT kaki dengan rasa mencengkam yang dialami Lena Gitom mendorong wanita dari Sabah itu mencari penawar alternatif berasaskan tumbuhan semula jadi hingga menghasilkan produk teh herba sendiri.
Mengimbas kembali momen itu, Lena berkata, dia didiagnosis dengan penyakit Plantar fasciitis berpunca daripada keradangan pada tisu plantar fascia pada bahagian tapak kaki yang menghubungkan tumit dengan jari.
Keadaan itu makin buruk apabila ia menyebabkan Lena sukar berjalan lagi-lagi kalau perlu memijak permukaan keras.
BACA LAGI: Buah rosak, bertompok kena 'sunburn', peladang nanas, tembikai kongsi helah elak rugi ribuan ringgit
Tambah merumitkan keadaan apabila situasi tersebut mengakibatkan Lena sukar tidur malam hingga dirinya mengalami insomnia.
Bagi meredakan rasa sakit yang dialami, Lena mencari penawar alternatif bagi berasaskan bahan semula jadi seperti herba.
Sepanjang proses tersebut, ibu kepada dua orang anak itu berkongsi bagaimana artikel saintifik dan perubatan membuka matanya kepada sesuatu yang tidak pernah diteroka.
"Saya mencari maklumat bagaimana nak tingkatkan sistem imunisasi tubuh dan menemukan herba dan tumbuh-tumbuhan seperti kunyit, serai dan halia yang dapat membantu mengurangkan rasa sakit," katanya.
Lena bersama produk Lena's Home Remedies yang diasaskan daripada ramuan herba dan tumbuh-tumbuhan seperti serai, halia dan kunyit. — The Star
Kebaikan tumbuh-tumbuhan yang lazim didapati di dapur itu dimanfaatkan dalam bentuk teh herba yang antara lain turut dapat membantu penyakit seperti gout, kolesterol dan kencing manis.
"Saya dapati kunyit dan serai banyak membantu kerana sifat anti radang dan antioksida bahan itu," ujarnya.
Produk Lena's Home Remedies yang dibuat secara suka-suka untuk diri sendiri, kenalan rapat dan ahli keluarga bertukar menjadi perniagaan kecil-kecilan.
Ketika pandemik, dia menghasilkan kuantiti lebih besar namun masih menjualnya kepada rangkaian pelanggan yang sama.
Hanya pada 2023, Lena lebih yakin untuk menjual kepada pasaran lebih luas selepas menerima maklum balas yang cukup positif daripada pelanggan.
Namun Lena menegaskan bahawa produk buatannya itu bukan satu bentuk ubat tetapi hanya penawar alternatif yang membantu meningkatkan imun badan, melegakan sakit sendi dan memberi manfaat antioksida.
"Ini hanyalah ramuan semula jadi bukannya penawar ajaib. Saya percaya andai diamalkan secara sederhana dan konsisten, ia boleh membantu sesetengah individu berasa lebih baik,” katanya.
Bagi Lena, dia tidak menumpukan kepada jualan semata-mata, tetapi hubungan baik dengan pelanggan
“Saya akui, mungkin kedengaran agak luar biasa, tetapi penyakit dan usaha mencari penawar serta kelegaan sebenarnya mampu menyatukan masyarakat,” ujarnya.
Meskipun berdepan pelbagai dugaan, Lena berkata, dia giat berkongsi kisah hidupnya selainkan melibatkan diri dalam pelbagai acara dan ekspo hingga berjaya memperoleh pelanggan dari Brunei.
“Salah satu acara terbesar yang saya sertai ialah Persidangan dan Ekspo Kesihatan dan Kesejahteraan Wanita Antarabangsa 2024,” katanya.
Selain itu, Lena turut menyertai Konvensyen Nasional Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu 2024 yang mengumpulkan para usahawan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).
Usahanya juga secara tidak langsung menyokong para petani kecil tempatan khususnya wanita dan ibu tunggal dari kawasan pedalaman Sabah dengan membantu meningkatkan permintaan terhadap herba yang mereka hasilkan. — The Star/ STEPHANIE LEE
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram