Di sebalik cerita sedih PBT kacau periuk nasi, rupanya ada jurufoto jalanan berperangai tak senonoh


  • Massa
  • Isnin, 28 Jul 2025

DBKL bersama agensi penguat kuasa bertindak tegas terhadap jurufoto sambilan tanpa lesen di sekitar KLCC. — DBKL

JURUFOTO sambilan di sekitar kawasan KLCC kini berdepan kritikan hebat selepas didakwa mengganggu pelancong dan mengenakan caj yang tidak munasabah untuk perkhidmatan fotografi yang tidak diminta.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan memaklumkan, terdapat individu yang menjadikan laluan pejalan kaki dan sebahagian jalan raya sebagai 'studio' sementara, sekali gus membahayakan keselamatan orang awam.

“Jurufoto haram ini menghalang pergerakan awam dan menimbulkan risiko keselamatan, terutama apabila mereka beroperasi di atas jalan raya,” kata DBKL.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Kalau rakyat Malaysia dikejar macam anjing', lelaki panas hati tengok warga asing 'bebas' langgar undang-undang

BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu wanita Singapura jatuh dalam lubang jerlus kini stabil, mujur ada pekerja asing jadi hero

Sebanyak 41 kompaun dikeluarkan oleh DBKL terhadap jurufoto sambilan yang tidak berlesen. The Star

DBKL turut menegaskan bahawa pesalah berulang berisiko dikenakan tindakan lebih tegas termasuk penyitaan peralatan.

Susulan aduan yang semakin meningkat mengenai gangguan, risiko keselamatan dan aktiviti perniagaan tanpa lesen, DBKL dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) telah melaksanakan 'OPS LENS' di kawasan tumpuan awam sekitar KLCC pada Ahad.

Operasi yang tertumpu di kawasan sekitar KLCC itu menyaksikan sebanyak 41 kompaun dikeluarkan terhadap jurufoto tidak berlesen.

Terdahulu, laporan media tempatan menyebut, ada jurufoto mengeluh dikenakan saman, sekali gus menyebabkan mata pencarian mereka terjejas.

Di media sosial, beberapa pelancong menyuarakan rasa tidak puas hati setelah mendakwa ditipu.

Apa yang bermula sebagai tawaran mesra untuk cenderamata bergambar sering berakhir dengan pertelingkahan.

“Saya bersetuju bayar RM8 untuk sekeping gambar cetak, tapi akhirnya saya dicaj lebih RM50. Bila saya minta gambar dipadam atau dikembalikan, dia mula agresif,” kata seorang pelancong.

Sementara itu, pemandu pelancong, Siti Ruhana Ahmad turut menyatakan kebimbangan apabila pelanggannya turut menjadi sasaran jurufoto terbabit.

“Ada pelanggan saya diganggu semasa lawatan ke kawasan tersebut. Saya pun tak sempat nak terangkan sejarah atau kepentingan tempat itu kerana sering diganggu. Syukurlah DBKL akhirnya ambil tindakan. Saya sendiri hampir buat aduan rasmi,” katanya.

Bagaimanapun, pemandu pelancong berpengalaman, Jane Rai berpendapat tidak semua jurufoto jalanan bersikap tidak sopan.

“Kebanyakan mereka akan bertanya dulu sebelum dekati pelanggan saya. Kalau kita layan elok-elok, mereka akan beredar,” katanya.

“Memang ada segelintir yang agresif, tapi itu jarang berlaku,” tambahnya.

DBKL memaklumkan bahawa penguatkuasaan akan diteruskan di lokasi pelancongan utama di ibu negara dan menggesa orang ramai agar berhati-hati apabila didekati individu yang menawarkan khidmat fotografi tanpa permit.. — The Star/BAVANI M

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram