[VIDEO] Pemandu wanita Singapura jatuh dalam lubang jerlus kini stabil, mujur ada pekerja asing jadi hero


  • Massa
  • Ahad, 27 Jul 2025

Tangkap layar menunjukkan para pekerja asing itu bertindak pantas menghulurkan bantuan untuk menyelamatkan wanita tersebut sebelum pasukan penyelamat tiba.

SEORANG wanita dikejarkan ke hospital selepas kereta dipandunya terjatuh ke dalam lubang benam (sinkhole) yang dipenuhi air di persimpangan Jalan Tanjong Katong, Singapura pada Sabtu.

Agensi air negara Singapura, PUB dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, mangsa berjaya diselamatkan dalam keadaan sedar oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) sebelum dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.

Dalam perkembangan terkini, difahamkan, beliau kini dalam keadaan stabil dan sedang menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Kalau rakyat Malaysia dikejar macam anjing', lelaki panas hati tengok warga asing 'bebas' langgar undang-undang

BACA LAGI: Ilmu angkasa diperkenal di sekolah mulai 2027, bakal pacu 5,000 pekerjaan menjelang 2030

Kejadian yang berlaku sekitar pukul 5 petang itu dirakam oleh orang awam dan tular di media sosial apabila kereta berkenaan kelihatan hampir tenggelam sepenuhnya ke dalam lubang yang terbentuk secara tiba-tiba di tengah jalan.

Namun, apa yang lebih mencuri tumpuan ramai ialah tindakan berani sekumpulan pekerja asing yang berada di lokasi kejadian dan segera bertindak menyelamatkan pemandu wanita terbabit tanpa memikirkan risiko keselamatan mereka sendiri.

Rakaman video insiden tersebut turut menunjukkan para pekerja itu bertindak pantas menghulurkan bantuan sebelum pasukan penyelamat tiba.

Tindakan murni mereka telah menerima pujian meluas warga maya yang menyifatkan mereka sebagai ‘wira tak didendang’.

PUB turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menyelamatkan mangsa dan memaklumkan bahawa kerja-kerja pembaikan serta pemulihan infrastruktur sedang giat dijalankan.

Menurut PUB, dua paip utama air rosak dalam kejadian terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram