
PELAJAR sekolah di Malaysia bakal didedahkan kepada ilmu angkasa lepas dalam sukatan pelajaran baharu yang dijangka dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun 2027.
Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Datuk Azlikamil Napiah berkata, pelaksanaan itu akan membolehkan pelajar mempelajari pelbagai bidang berkaitan angkasa termasuk astronomi, fizik, kejuruteraan, matematik, biologi serta sains gunaan.
“MYSA telah dilantik sebagai antara panel utama oleh Kementerian Pendidikan bagi membangunkan bersama sukatan pelajaran baharu ini yang mengintegrasikan sains, teknologi dan aplikasi angkasa dalam subjek Sains,” katanya kepada StarEdu pada Khamis.
BACA LAGI: Tinggalkan kelab yang sama, siapa sangka 'jodoh' kembali bertaut bersama kelab berbeza
BACA LAGI: [VIDEO] Pernah belajar bahasa Melayu bersama Tae-su, bekas bintang Sabah FC umum gantung but
Azlikamil berkata, teknologi angkasa lepas akan menjadi tonggak penting agenda STEM Malaysia, dengan menyatakan bahawa ruang angkasa adalah antara bidang yang paling maju di seluruh dunia.
Tambah beliau, teknologi angkasa akan menjadi tunjang penting kepada agenda STEM negara memandangkan bidang tersebut merupakan antara yang paling maju di peringkat global.
Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada Pelan Eksplorasi Angkasa Malaysia 2030 di bawah Teras Ketiga: Memacu Pembangunan Sains dan Teknologi Angkasa serta Membina Kepakaran,yang bertujuan memperkukuh kandungan berkaitan angkasa dalam pendidikan sekolah kebangsaan.
Presiden dan pengasas Persatuan STEM Kebangsaan, Profesor Emeritus Datuk Dr Noraini Idris menyambut baik usaha berkenaan, sambil menyifatkan pendekatan tersebut mampu menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan dan relevan kepada pelajar.
“Bidang seperti astronomi dan kejuruteraan aeroangkasa secara semula jadi menggabungkan unsur fizik, matematik, sains komputer dan biologi menjadikan konsep abstrak lebih hidup dan mudah difahami,” ujarnya.
Menurutnya lagi, apabila pelajar dapat memahami bagaimana undang-undang Newton diaplikasikan dalam penerbangan angkasa, bagaimana pengekodan digunakan dalam misi robotik atau bagaimana kehidupan boleh dikaji di luar planet, mereka mula melihat kaitan sebenar STEM dalam dunia nyata bukan sekadar untuk peperiksaan.
Profesor Noraini turut menekankan bahawa pengaitan STEM dengan sektor angkasa boleh menjadi antara penyelesaian kepada kekurangan bakat STEM yang dihadapi negara.
“Akademi Sains Malaysia menjangkakan negara memerlukan lebih sejuta tenaga kerja dalam bidang STEM menjelang 2030 untuk memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi, namun kadar kemasukan dan graduan dalam bidang ini masih belum mencukupi di peringkat sekolah mahupun universiti,” katanya.
MYSA menjelaskan pelajar akan mempelajari pelbagai bidang berkaitan angkasa dalam sukatan baharu yang akan dilaksanakan bermula 2027. — Gambar hiasan
Beliau berkata, jurang tersebut hanya boleh ditutup dengan memperkukuh pendidikan asas STEM serta mewujudkan laluan kerjaya yang lebih jelas daripada bilik darjah ke industri dan sektor angkasa mempunyai potensi besar untuk tujuan itu.
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed turut menyokong inisiatif berkenaan dan percaya ia mampu mencetuskan minat awal serta sifat ingin tahu dalam kalangan pelajar.
“Bila pelajar mula bertanya soalan seperti ‘bagaimana kapal terbang boleh terbang?’, ‘bagaimana satelit kekal di orbit?’ atau ‘bagaimana kita menentukan lokasi pelancaran satelit?’, guru boleh memupuk minat mendalam terhadap penerokaan dan penemuan,” jelasnya.
Beliau menambah, pelibatan pelajar dalam projek praktikal, cabaran inovasi dan aktiviti kejuruteraan di dalam kelas mampu meningkatkan kemahiran analitik serta kebolehan menyelesaikan masalah.
Profesor Abdul Rahman yakin, dengan kerjasama bersepadu antara sekolah, universiti dan industri, Malaysia mampu membina kedudukan kukuh dalam sektor angkasa yang berkembang pesat di peringkat antarabangsa.
MYSA merupakan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi ilmu yang diberi mandat untuk menerajui pembangunan dan operasi teknologi angkasa selaras dengan Dasar Angkasa Negara 2030.
Menjelang 2030, Azlikamil menjangkakan sektor angkasa akan menyumbang sekurang-kurangnya satu peratus atau RM10 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan, mencapai 50 peratus tahap kebergantungan kendiri dalam teknologi angkasa serta menjana pasaran data tahunan bernilai RM40 juta. — The Star/SAMANTHA SO
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram