
HARGA runcit minyak petrol RON-95 diturunkan 6 sen kepada RM1.99 seliter menjelang September depan seperti mana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis.
Jelas beliau, inisiatif itu khusus untuk rakyat Malaysia dan pengguna hanya perlu menunjukkan MyKad ketika membuat pembelian petrol berkenaan.
“Ini tentunya beri manfaat sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig. Pada masa sama, mereka yang tidak layak seperti warganegara asing perlu untuk membayar pada harga pasaran tanpa subsidi," kata beliau.
BACA LAGI: Rasionalisasi subsidi petrol RON95 diteruskan seperti dirancang— Anwar Ibrahim
BACA LAGI: [VIDEO] Rasionalisasi subsidi RON95 dilaksana separuh kedua 2025
Pengguna perlu menunjukkan MyKad untuk menikmati harga baharu RON95 itu sekiranya subsidi bersasar itu dilaksanakan.
Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata, kerajaan komited dengan pelan subsidi bersasar bagi petrol RON95 dengan perincian lanjut akan disampaikan pada penghujung September.
“Apa yang pasti, seperti mana pendekatan penyasaran subsidi elektrik, Kerajaan beri jaminan rakyat biasa tidak akan terjejas; bahkan, sukacita saya umumkan harga petrol RON95 akan turun untuk rakyat.
“Apabila penyasaran subsidi RON95 dilaksanakan nanti, rakyat Malaysia akan menikmati harga RON95 lebih rendah iaitu RM1.99 seliter," kata beliau.
Jelas beliau, pendekatan bersasar itu, sejajar dengan ikhtiar Kerajaan untuk mengoptimum sumber negara bagi manfaat rakyat dan mengurangkan pembaziran subsidi.
Bagi 2023 dan 2024, subsidi RON95 dianggarkan menelan belanja hampir RM20 bilion setahun.
Walaupun tahun ini harga minyak dunia mengalami penyusutan, harga petrol RON95 tanpa subsidi masih sekitar RM2.50 seliter jauh lebih tinggi daripada harga bersubsidi untuk rakyat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram