Objek asing dalam bronkus mayat Zayn Rayyan disahkan daun pokok pulai


Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia pada 6 Disember 2023.

SEHELAI daun pokok pulai ditemui tersekat dalam saluran bronkus mayat Zayn Rayyan Abdul Matin, kanak-kanak autistik yang maut kes kematian tragis pada penghujung 2023.

Fakta tersebut dikongsikan dalam keterangan seorang pegawai polis kanan yang tampil sebagai saksi ke-28 dalam perbicaraan kes kematian tragis itu.

Bronkus merupakan saluran udara yang menghubungkan trakea ke paru-paru. 

BACA LAGI: [VIDEO] Polis rakam keterangan Ismanira susulan video tular pimpin tangan Zayn Rayyan di media sosial

BACA LAGI: Saksi menangis cerita detik jumpa jasad Zayn Rayyan seperti tidur mengiring

Saksi terbabit, Asisten Superintendan Mohd Hafizee Ismail yang kini berjawatan pegawai risikan operasi berkata, penemuan tersebut dimaklumkan kepadanya pada 8 Disember 2023 selepas objek itu dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

“Saya menerima laporan awal daripada ahli kimia yang mengesahkan objek asing dalam bronkus si mati adalah daun pokok pulai.

“Hasil siasatan lanjut mendapati terdapat pokok pulai tumbuh berhampiran lokasi penemuan mayat, kira-kira 10 meter dari situ,” katanya pada prosiding pada Isnin.

Prosiding itu turut diikuti oleh kedua-dua tertuduh iaitu ibu bapa kepada kanak-kanak itu dari kandang tertuduh.

Menurut laporan sama, kedua-dua mereka kelihatan tenang dan sesekali menundukkan kepala dan mengesat air mata.

Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin menghadiri bicara kes pengabaian yang terhadap kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu. -Foto Bernama

Prosiding pada Isnin turut dihadiri ibu bapa kepada kanak-kanak itu yang mengikutinya dari kandang tertuduh.

Dalam keterangan seterusnya, Hafizee memaklumkan beliau menghadiri sesi bedah siasat pada 7 Disember 2023 di Hospital Sungai Buloh selepas dimaklumkan tentang kecederaan mencurigakan pada tubuh mangsa.

Antara kecederaan dilihat ialah telinga kiri si mati dalam keadaan terkulai, kesan toreh pada lengan kanan, dan koyakan pada dubur yang dipercayai akibat objek tumpul.

Mangsa turut mengalami lebam di dahi, leher, dada, rahang dan beberapa anggota badan lain.

“Punca kematian disahkan pakar forensik, Dr Siti Rohayu sebagai ‘ligature strangulation’ iaitu jerutan menggunakan objek.

“Susulan itu, saya membuka siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mengetuai pemeriksaan di rumah keluarga si mati di Apartment Idaman, Damansara Damai,” ujarnya.

Beliau berkata, semasa pemeriksaan, sepasang kasut sekolah berwarna hitam dipenuhi kesan lumpur ditemui di dalam bilik pertama berhampiran peti ais.

Barang-barang lain termasuk stokin, lampin dan sampel tanah turut dirampas ketika pemeriksaan untuk dihantar ke Jabatan Kimia.

Hafizee memaklumkan  Unit K9 PDRM dikerahkan bagi penjejakan berdasarkan baju milik Zayn Rayyan, namun operasi sejauh 500 meter dari kawasan tangga hingga ke anak sungai tidak menemui sebarang kesan signifikan.

Beliau turut mendedahkan, calitan DNA diambil dari dubur mangsa hanya padan dengan DNA Zayn Rayyan sendiri dan tiada DNA asing dijumpai.

Saksi turut menerima dan menyemak beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari pihak pengurusan apartment yang merakam kelibat seorang kanak-kanak memakai baju putih pada 5 Disember 2023 iaitu hari Zayn Rayyan dilaporkan hilang.

CCTV itu menunjukkan kanak-kanak itu berjalan di saluran air dan berpatah balik keluar dari terowong.

Tambah beliau lagi, pelbagai barangan termasuk pendrive atau pemacu pena mengandungi rakaman CCTV, bulu kucing, pakaian dan telefon bimbit milik tertuduh turut dihantar untuk analisa forensik.

Katanya, sampel bulu kucing dianalisis tidak sepadan dengan yang ditemui pada pakaian si mati.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh bersambung pada petang Isnin.

Pada 13 Jun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira, masing-masing 29 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya pada 5 Disember 2023.

Jika sabit bersalah mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, mereka berdepan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

Dalam insiden tragis pada penghujung 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di kawasan aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram