Hari 19 perbicaraan, tiada keterangan saksi Zayn Rayyan pernah diabai, didera sebelum hilang


Saksi tersebut juga bersetuju bahawa Zayn Rayyan tidak pernah menjadi mangsa dera.

TIADA sebarang keterangan daripada 27 saksi pendakwaan pernah menyatakan bahawa Ismanira, 30, dan Zaim Ikhwan, 30, mengabaikan anaknya, Allayarham Zayn Rayyan Abdul Matin pada hari kehilangannya.

Memetik laporan Harian Metro, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor dimaklumkan oleh saksi pendakwaan ke-28, Asisten Superintendan Mohd Hafizee Ismail, 38, pada hari ke-19 perbicaraan.

Mohd Hafizee yang sebelum ini bertugas sebagai pegawai penyiasat kanan jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya juga berkata, tiada saksi melihat tertuduh di kawasan sungai berdekatan Blok R Apartment Idaman iaitu lokasi mayat Zayn Rayyan ditemukan.

BACA LAGI: Kesan darah ditemui dalam bilik milik Zayn Rayyan — Saksi

BACA LAGI: Objek asing dalam bronkus mayat Zayn Rayyan disahkan daun pokok pulai

Pada 13 Jun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya pada 5 Disember 2023.

Beliau turut bersetuju dengan kenyataan peguam bahawa ibu bapa Zayn Rayyan tidak mengabaikan kesihatan anak mereka, selain tiada kesan kecederaan lama yang boleh menunjukkan kanak-kanak autistik itu pernah didera.

Saksi berkenaan juga menafikan bahawa terdapat laporan perubatan menyatakan Zayn diabai ibu bapa disimpan di rumah sehingga sakit.

Sebelum ini, Zaim dan Ismanira didakwa atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik tersebut yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu juga didakwa dilakukan di sekitar kawasan rumahnya sehingga ke sungai berdekatan apartmen sama antara pukul 12 tengah hari 5 Disember 2023 dan 9.55 malam 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram