'Tak perlu banyak sangat pergi kelas', Tomok optimis bijak bahagi masa waima sambung belajar ketika berusia 41 tahun


  • Hiburan
  • Isnin, 07 Jul 2025

Tomok bukan sahaja seorang artis berbakat, tetapi juga seorang individu yang sentiasa dahagakan ilmu dan perkembangan diri.

DALAM dunia yang semakin pantas bergerak ini, tuntutan untuk terus belajar dan menambah ilmu tidak lagi terbatas kepada usia muda semata-mata.

Pendidikan kini dilihat sebagai satu proses sepanjang hayat, bukan sahaja demi kelangsungan kerjaya, tetapi juga sebagai bentuk pembangunan diri dan inspirasi kepada generasi seterusnya.

Inilah yang mendorong penyanyi dan pelakon terkenal, Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana (Master) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada usia 41 tahun.

BACA LAGI: ‘Little Bornean Birdie’ raih naib juara, Dion Das Louis sekali lagi harumkan nama Malaysia di Sepanyol

BACA LAGI: Sentuhan 'magis' dari kayu palet terpakai menjadi perabot, item hias ekslusif penuh gaya

Ia merupakan satu keputusan yang dianggap berani dan penuh makna, lebih-lebih lagi beliau sudah pun berjaya dalam dunia seni.

"Apa yang mendorong saya? Sebaik sahaja habis degree di UUM (Universiti Utara Malaysia), saya rasa patut sambung lagi.

"Maka, melanjutkan pengajian peringkat master satu lagi tangga dan inisiatif ini menjadi motivasi untuk saya terus mencari ilmu. Pada masa masa, meluaskan lagi pengetahuan dalam bidang seni persembahan,” jelasnya ketika ditemui Majoriti.

Menyedari hakikat bahawa dunia hiburan tidak selamanya menjanjikan kestabilan, Tomok tidak melihat kejayaan masa lalu sebagai tiket kekal dalam industri.

Sebaliknya, beliau mahu bersedia menghadapi perubahan masa hadapan dengan memperkukuh asas akademik.

"Perancangan ini memang untuk masa depan sebab bidang akademik, bidang pendidikan ini kalau kita ada ilmu itu kita boleh share dengan orang ramai.

"Bidang nyanyian tak selamanya kita akan berada dalam satu tahap terbaik. Jadi saya rasa berbekalkan akademik insya-ALLAH dapat membantu untuk masa hadapan," tambahnya.

Menjalani kehidupan sebagai selebriti, suami dan bapa bukan satu tugas yang mudah.

Namun, Tomok mengakui bahawa beliau bertuah kerana dapat menguruskan masa dengan baik, terutamanya apabila kerjayanya kini lebih fleksibel dan tidak menuntut jadual yang terlalu padat.

"Untuk saya tak jadi banyak sangat masalah sebab bukanlah hari-hari buat persembahan.

"Saya pun sebenarnya banyak buat research untuk kursus ini, jadi tak perlu banyak sangat pergi ke kelas.

"Insya-ALLAH tak ada apa-apa masalah. Saya bolehlah bahagikan masa antara karier, keluarga dan aktiviti-aktiviti lain," jelas pelantun lagu Bagaikan Bidadari itu lanjut.

Seperti pelajar lain, Tomok tidak terlepas daripada cabaran menyiapkan tugasan berkualiti tinggi.

Namun, semangatnya tidak pernah luntur apabila beliau mengakui bahawa bimbingan daripada pensyarah dan penyelia kursus banyak membantu.

"Cabaran paling besar adalah untuk menyiapkan assignment. Jadi saya banyak berbual dengan penyelia kursus dan Alhamdulillah mereka banyak membantu saya. Sememangnya saya tengah berusaha ke arah menjadi terbaik."

Lebih daripada sekadar mengejar pencapaian peribadi, Tomok berharap tindakannya menyambung pengajian menjadi contoh kepada anak-anak dan orang ramai bahawa usaha untuk menimba ilmu tidak pernah mengenal usia.

"Saya ingin menjadi contoh sebenarnya, untuk diri saya sendiri dan juga untuk keluarga saya, anak-anak saya.

"Usia bukan menghalang untuk seseorang itu sambung belajar ataupun berjaya. Saya boleh, orang kat luar sana 100 kali lagi boleh," katanya penuh harapan.

Dengan semangat gigih dan kesungguhan ditunjukkan, jelas bahawa pelakon telefilem Suamiku Jururawat tersebut bukan sahaja artis berbakat, tetapi individu yang sentiasa dahagakan ilmu dan perkembangan diri.

Keputusan beliau menyambung pengajian di usia matang bukan sahaja membuka lembaran baharu dalam hidupnya, malah memberi inspirasi besar kepada mereka yang ingin mencabar diri dan mencipta perubahan positif dalam hidup.

Sekadar rekod, Tomok dan isteri, Rahayu Abas mendirikan rumah tangga pada 2 Julai 2011. Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Arrianshah Akid, Andrashah Iman dan Siti Khadijah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram