JAIS ambil keterangan 2 saksi program motivasi eHati


  • Kes
  • Isnin, 14 Jul 2025

Program motivasi eHATI yang diadakan khas untuk peserta wanita di Shah Alam, Selangor melibatkan perlakuan tidak senonoh oleh penganjur.

DUA individu yang terbabit dalam penganjuran program motivasi eHati dijadual hadir ke Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada Selasa bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan ajaran Islam dan doktrin songsang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Na’im Mokhtar mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa Bahagian Penguatkuasaan JAIS telah memanggil kedua-dua individu terbabit.

“Esok JAIS bahagian penguatkuasaan akan panggil kedua-dua saksi tersebut. Kita tunggulah esok,” katanya kepada media selepas Majlis Pra Pelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-65 di Kuala Lumpur pada Ahad.

BACA LAGI: Kempen Internet Selamat bantu pelajar di Keningau fahami risiko siber

BACA LAGI: 'Kita bincang anak beranak', Annuar Musa enggan terburu-buru terima jawatan Presiden Kelantan The Real Warriors

Dalam perkembangan lain, Polis Selangor turut memulakan siasatan terhadap program tersebut yang didakwa mengandungi unsur lucah dan bertentangan dengan norma masyarakat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dalam kenyataan pada Isnin berkata, kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan kerana perlakuan lucah di tempat awam dan Seksyen 509 kerana perbuatan menghina kesopanan seseorang.

“Siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur lucah atau ajaran menyeleweng seperti yang didakwa. Semua aspek dan tuduhan akan dinilai secara adil sepanjang siasatan.

“Sehubungan itu, polis akan memanggil semua peserta program untuk diambil keterangan,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut memaklumkan telah memulakan siasatan terhadap program motivasi berkenaan yang didakwa melibatkan penari separuh bogel serta upacara ‘mandi penyucian suci’. — The Star/JUSTIN ZACK

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram