
KEHADIRAN haiwan peliharaan dalam diri seseorang sememangnya dapat mengubati perasaan duka dan kesunyian meskipun ia tidak dapat berkomunikasi secara terus.
Haiwan peliharaan paling sinonim dalam negara sudah tentu kucing kerana penjagaannya tidak terlalu rumit selain boleh dibawa hampir ke semua kawasan awam.
Namun, di sebalik sikap manja ditonjolkan 'si bulus', ramai pasti terpaksa menelan hakikat bahawa jangka hayat haiwan tersebut yang pendek menjadikannya mustahil untuk terus menemani kita hingga ke hari tua.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Oyen' mangsa nahas Elmina selamat, masih dalam pantauan veterinar
BACA LAGI: [VIDEO] Si Oyen sakit kaki dapatkan 'rawatan' di Hospital Selayang
Kehadiran haiwan peliharaan dapat mengubati perasaan duka seseorang. — Agensi
Tetapi, apa yang mungkin ramai tidak sedar adalah tempoh dihabiskan kucing peliharaan masing-masing bukan sahaja bermakna buat penjaga, malah buat haiwan itu sendiri.
Perkara tersebut dikupas pengguna Facebook, Azwan Aziz yang menyatakan terdapat kemungkinan besar kita merupakan satu-satunya penjaga buat haiwan berkenaan sepanjang jangka hayatnya.
"Kita mungkin ada banyak kucing dalam seumur hidup, tetapi kucing hanya ada kita dalam seumur hidupnya. Ayat ni mungkin ringkas, tapi apabila direnung dalam-dalam, rasa sebak pun datang perlahan-lahan.
"Kita manusia, hidup bertahun-tahun. Jumpa macam-macam jenis kucing. Ada yang datang, ada yang pergi. Ada yang tinggal parut manja, ada yang tinggal rindu yang tak pernah surut.
"Tetapi, buat seekor kucing, kitalah seluruh dunianya. Kitalah tempat dia mengadu, bermain, bergantung hidup. Kitalah yang dia cari apabila lapar, bila takut dan bila sunyi," tulisnya.
Tindakan kecil seperti menggesel kepala ke kaki penjaga akan dirindui selepas kucing pergi meninggalkan seseorang. — Agensi
Hantaran tersebut membuka mata pencinta kucing kerana masing-masing sebelum ini menyedari jangka hayat haiwan berkenaan pendek, namun tidak sedar bagaimana pentingnya diri kita terhadap mereka.
Seekor kucing kebiasaannya akan hidup dalam lingkungan 13 ke 20 tahun sekiranya tidak mengalami sebarang penyakit serius dan diberi penjagaan terbaik dari segi pemakanan dan kebersihan.
Jadi, tempoh dihabiskan bersama penjaga itu sememangnya cukup bermakna buat haiwan peliharaan tersebut yang mahu menikmati setiap saat bersama penjaga di sisi.
"Apabila ia tidur lena di sisi kita, itu bukan sekadar tidur, itu adalah kepercayaan paling tulus yang diberi. Apabila ia datang menggesel di kaki, itu bukan sekadar manja. Itu adalah caranya berkata 'terima kasih sebab masih di sini'.
"Hargailah setiap saat dengan mereka kerana apabila tiba hari sunyi nanti, suara mengiau itu, tapak kaki kecil itu, mata penuh percaya itu hanya akan tinggal dalam kenangan. Percayalah, dia pernah bahagia kerana dia pernah dimiliki hati seperti hati kita," tulisnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram