
TERDAPAT kecenderungan dalam kalangan generasi lebih tua untuk sering mengkritik penggunaan, penyalahgunaan dan keterlaluan penggunaan media sosial dalam kalangan anak muda, kata Pakar Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Indonesia (UIII), Prof Farish A. Noor.
Beliau menggesa agar pembangun teknologi seperti media sosial dan platform berkaitan dipertanggungjawabkan atas kesan negatif produk mereka, termasuk pelaksanaan had umur yang jelas bagi pengguna muda.
Di Malaysia, kebanyakan platform media sosial meletakkan umur minimum 13 tahun untuk pengguna, walaupun ia bukan keperluan undang-undang.
BACA LAGI: Tiga apartmen jadi satu rumah nostalgia, kediaman impian Ambika Gupta di Chennai
BACA LAGI: Istana si bulus, 5 rumah kucing mewah selebiriti Malaysia, Indonesia dan Singapura
Namun begitu, kerajaan kini sedang berusaha memperketatkan pengesahan umur dan meningkatkan pendidikan awam tentang keselamatan dalam talian, khususnya untuk kanak-kanak melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Anak muda mangsa, bukan pencipta"
"Bagi saya, generasi muda adalah mangsa. Jangan kita lupa satu perkara. Anak-anak tidak mencipta media sosial. Remaja 13 tahun bukan pencipta Instagram, TikTok atau Facebook.
"Kita tahu siapa yang cipta semua ini. Mereka kini sudah dewasa, menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), jutawan dan tokoh korporat berkuasa dalam kalangan elit global. Maka tanggungjawab kini terletak pada mereka," tegas Farish.
Beliau melahirkan rasa kesal kerana media sosial tidak dikawal seketat barang terlarang seperti arak, tembakau atau senjata api walaupun banyak kajian menunjukkan kesannya terhadap IQ, keupayaan kognitif, keupayaan berkomunikasi, serta tahap moral dan harga diri, khususnya dalam kalangan remaja perempuan.
"Kalau saya cipta pil bodoh, pasti diharamkan"
"Jika saya cipta sebiji pil bodoh yang bila ditelan, IQ anda jatuh 50 peratus, tiada kerajaan di dunia ini akan benarkan saya jual pil itu.
"Kalau kerajaan tak benarkan saya jual pil yang buat orang jadi bodoh, kenapa kita biarkan syarikat-syarikat ini terus mengedarkan kandungan yang melemahkan minda masyarakat secara pasif, setiap hari, dengan kandungan kosong, remeh, dan tidak berinformasi?" ujarnya sinis.
"Kita ada peraturan untuk rokok, arak dan perjudian. Tetapi kita terlalu lambat dalam mengawal media sosial. Ini persoalan penting yang perlu kita, sebagai rakyat, bangkitkan."
Kesan teknologi baharu terhadap pelajar
Farish turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemunculan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), termasuk platform seperti ChatGPT, yang menurutnya menjejaskan kualiti pembelajaran dan mentaliti pelajar.
"Sama ada saya mengajar di Indonesia, Singapura atau Malaysia, saya tahu pelajar boleh meniru kerana teknologi ini membantu mereka melakukannya. Malah ada juga teknologi yang boleh menyorokkan perbuatan meniru itu.
"Saya tak boleh halang mereka akses teknologi ini, dan saya juga tak boleh salahkan mereka sebab bukan mereka yang mencipta teknologi ini," jelas beliau.
Gesaan kepada elit politik
Beliau menyeru agar golongan elit politik, yang juga pengguna media sosial, memiliki sikap tanggungjawab yang lebih tinggi terhadap isu ini.
"Seperti mana kita tak benarkan remaja 13 tahun beli senjata atau rokok, kenapa tiada had umur yang tegas untuk akses media sosial?
"Kalau saya ada anak berumur 13 tahun, saya takkan benarkan dia guna media sosial, sebab saya tahu risikonya sangat besar terhadap keselamatan dan perkembangan dirinya," kata Farish mengakhiri wawancara. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram