
‘KALAU tidak cuba, sampai bila kita tidak akan percaya kepada belia’
Demikian pandangan dilontarkan oleh mantan Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz yang menyuarakan rasa terkilan dengan sikap segelintir pemimpin belia yang masih mempersoalkan pelaksanaan dasar had umur belia bawah 30 tahun menjelang Januari 2026.
Menurut Sherhan Nizam yang sebelum ini menyandang jawatan sebagai Naib Presiden MBM pada sesi 2018-2020, peralihan menjadikan had umur belia bawah 30 tahun itu sudah diberi tempoh persediaan selama satu dekad.
BACA LAGI: Bekas Pengarah Belia dan Sukan Melaka didakwa kes rasuah RM126,000
BACA LAGI: Karnival Belia Madani 2.0 tampil lebih gempak dengan 'food fest', aktiviti menarik
Menurut Sherhan Nizam, MBM sendiri telah melalui pelbagai fasa perbincangan dan advokasi berkaitan isu had umur belia sejak tahun 2015, malah usaha untuk mempersiapkan pertubuhan belia di semua peringkat telah lama digerakkan.
“Sebelum ini memang kita (pihak persatuan gabungan) perjuangkan supaya jangan diturunkan had umur belia ke bawah 30 tahun sebelum ini. Tetapi sekarang, ia sepatutnya tidak berlaku lagi.
“Bila saya tengok semalam (Khamis) mereka naikkan isu ini, saya persoalkan kenapa berlaku. Sepatutnya sekarang bukan masa nak undur ke belakang. Ini masa untuk kita move forward, pass baton kepada generasi baharu,.
“Dulu tahun 2018 minta tangguh, 2019 minta lagi, 2021, 2023, 2024 pun sama. Sampai bila kita nak bagi alasan ‘belum bersedia’ Kalau tak mula, sampai bila nak tahu anak muda mampu pimpin,” katanya kepada Majoriti.
Naib Presiden MBM, Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz.
Beliau secara peribadi berpendapat bahawa golongan belia pada masa ini sepatutnya sudah bersedia untuk mengambil alih persatuan dan pada masa sama, pemimpin semasa juga perlu berjiwa besar melepaskan jamaran mereka.
Sherhan Nizam yang pernah memegang jawatan Pengerusi Majlis Belia Daerah Hulu Langat berkongsi pengalaman peribadinya apabila memilih untuk tidak bertanding semula di peringkat daerah meskipun masih dalam lingkungan umur belia ketika itu.
“Saya lepaskan jawatan pengerusi Majlis Belia Hulu Langat tahun lepas, walaupun umur saya belum 40. Kalau saya bertanding, penggal habis tahun 2027. Tapi saya fikir, dasar baru nak jalan 2026, saya kena bersedia lepaskan. Itu pengorbanan yang saya buat supaya pelapis boleh naik.
“Kita kena berbesar hati dan berjiwa besar untuk mencari pelapis dan melepaskan jawatan walaupun masih ada umur yang sesuai.
“Kita dah dilatih dan diberi ruang oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) oleh program-program bawah MBM sendiri macam mana kita nak bersiap untuk berikan peluang kepada adik-adik,” kongsinya.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Mengulas kenyataan segelintir pihak yang memohon penangguhan dasar had umur belia, beliau menyifatkannya sebagai alasan berulang yang sudah tidak relevan selepas tempoh persediaan yang begitu panjang.
Beliau turut memberi contoh kejayaan beberapa pertubuhan seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang telah lama memberi ruang kepada kepimpinan muda bawah 30 tahun.
“Di Hulu Langat sendiri saya serah jawatan kepada adik berumur 29 tahun. Tak ada masalah pun. Persatuan pelajar Islam macam PKPIM memang sejak dulu kepimpinan mereka umur 25 tahun ke bawah. Jadi sebenarnya pelaksanaan ini bukannya mustahil,” ulasnya lagi.
Sherhan Nizam berharap agar pemimpin belia hari ini tampil berjiwa besar seperti generasi terdahulu yang berani melepaskan jawatan demi melahirkan barisan kepimpinan baharu yang segar dan progresif.
Sebelum ini, beberapa pihak termasuk MBM sendiri menyuarakan pandangan mereka yang tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk memuktamadkan had umur pemegang jawatan pertubuhan belia kepada 30 tahun.
Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan bahawa keputusan itu kekal dengan ia akan berkuat kuasa 1 Januari tahun depan selaras pelaksanaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta A1602). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram