
MALANG tidak berbau. Itulah ungkapan yang sesuai untuk menceritakan situasi apabila seorang pengguna jalan raya mengalami musibah sehingga membahayakan diri meskipun bersikap berwaspada sepanjang berada dalam kenderaan.
Perumpaan itu juga sesuai untuk dikaitkan dengan video tular pada memaparkan sebuah kereta ditimpa kain rentang yang jatuh dari papan iklan dalam satu kejadian di Lebuhraya Persekutuan pada petang Isnin.
Dalam rakaman yang dikongsikan di media sosial, kelihatan iklan tersebut sudah tercabut dipercayai akibat tiupan angin sebelum jatuh ke arah lalu lintas di laluan terbabit.
BACA LAGI: Dummy buckle tingkat risiko kemalangan tapi masih ramai pemandu salah guna
BACA LAGI: Kanak-kanak 6 tahun antara mangsa maut kemalangan lori berhenti di Lipis
Tetapi, pemerhatian lebih mendalam terhadap klip pendek itu turut menyaksikan sebuah lori berwarna kuning diparkir di bawah papan iklan berkenaan, sekali gus menimbulkan kemungkinan kerja-kerja penyelenggaran sedang dilakukan.
Video berdurasi enam saat berkenaan turut memaparkan beberapa pengguna jalan raya sempat memberhentikan kenderaan masing-masing, namun salah sebuah daripadanya ditutupi kain itu.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan apakah nasib menimpa pemandu itu kerana tiada sebarang kemalangan dilaporkan berlaku di Lebuhraya Persekutuan pada Isnin.
Namun, tinjauan di ruangan komen mendapati orang ramai mengharapkan supaya mangsa terlibat dapat mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang sepatutnya.
Tindakan undang-undang masih boleh diambil meskipun tiada nyawa terkorban. — Gambar hiasan
"Pihak pengiklan harus bertanggungjawab membayar ganti rugi kepada kenderaan tersebut walaupun tiada apa-apa terjadi pada kenderaan itu. Seharusnya disenarai hitam pengiklan tersebut daripada terus mengiklan produk sebab membahayakan pengguna jalan raya," tulis Ahmad Fauzi Ismail Fauzie.
"Kepada mangsa, silalah saman kerana sekiranya orang awam melanggar objek sebegitu, kita perlu membayar ganti rugi kepada mereka. Jadi, inilah peluang untuk berbuat sedemikian," kata Mohd Pauzi Ahmad.
"Bahaya keadaan sebegini, kontraktor yang pasang iklan tersebut sepatutnya didenda kerana kecuaian. Tidak tahu apa yang terjadi selepas itu, harapnya tiada kemalangan," kata Maya Sohor.
Sekiranya tindakan undang-undang diambil terhadap syarikat terlibat, pengguna jalan raya yang terkesan itu pasti menerima pampasan selayaknya kerana keadaan sebegitu amat membahayakan diri sendiri serta pengguna lain.
Belum ada kenyataan pihak berkuasa berhubung kejadian itu setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram