Bahana fitnah Rosmah amal ilmu hitam, pengguna TikTok diarah bayar RM100,000


  • Kes
  • Selasa, 08 Jul 2025

Rosmah sebelum ini menghantar tuntutan saman mencecah RM1 juta terhadap pengguna TikTok tersebut.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa memerintahkan seorang pengguna TikTok untuk membayar RM100,000 kepada Datin Seri Rosmah Mansor berhubung fitnah ilmu hitam dan perbuatan syirik yang dimuat naik di platform itu dua tahun lalu.

Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan sedemikian selepas membenarkan permohonan Rosmah sebagai plaintiff terhadap Ku Muhammad Hilmie Ku Din yang dinamakan sebagai defendan selepas lelaki itu gagal memasukkan memorandum kehadiran untuk menjawab saman berkenaan pada tarikh ditetapkan.

“Selepas mempertimbangkan semua perkara, mahkamah ini berpendapat bahawa jumlah keseluruhan sebanyak RM100,000 adalah suatu penilaian yang adil dan seimbang. Jumlah keseluruhan sebanyak RM100,000 ini merangkumi ganti rugi am dan ganti rugi teruk.

BACA LAGI: Peguam Negara masih pertimbang representasi Rosmah Mansor minta gugur tuduhan

BACA LAGI: Rosmah mahu saman pemegang akaun TikTok RM1 juta, sebar dakwaan amal ilmu hitam

“Tuntutan bagi ganti rugi teladan tidak dibenarkan memandangkan tiada keterangan kukuh yang dikemukakan di hadapan mahkamah ini bagi menyokong pemberian itu,” katanya.

Mahkamah turut menetapkan faedah pada kadar 5 peratus setahun ke atas jumlah penghakiman ditetapkan bermula tarikh keputusan dikeluarkan sehingga jumlah ditetapkan selesai dibayar.

Rosmah (kanan) menyatakan fitnah tersebut menyebabkan imejnya sebagai isteri bekas Datuk Seri Najib terjejas.

Pada 28 Mei tahun lalu, mahkamah membenarkan permohonan Rosmah untuk memperoleh permohonan ingkar (JID) ke atas pengguna TikTok, Ku Muhammad Hilmie selepas lelaki itu gagal memasukkan memorandum kehadiran untuk menjawab saman berkenaan pada tarikh ditetapkan.

Rosmah memfailkan sama menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak pada 19 September 2023 dengan menyatakan video dimuat naik tersebut mengandungi unsur fitnah terhadapnya.

Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu mendakwa hantaran tersebut membawa maksud beliau melakukan perbuatan berdosa, dikaitkan dengan aktiviti melibatkan syaitan, bomoh serta seorang individu yang jahat dan mengamalkan perbuatan syirik.

Rosmah mendakwa akibat kenyataan fitnah itu, beliau dipandang serong oleh orang awam, dicemuh dan dihina sekali gus mencemarkan reputasinya selaku figura yang dikenali oleh masyarakat umum.

“Ekoran fitnah yang dimuat naik itu, saya mengalami gangguan emosi dan kemurungan serta hilang keyakinan diri untuk tampil di khalayak ramai kerana risau dipersoal oleh orang ramai dan kenalan-kenalan saya.

“Selain itu, saya terpaksa memberi penjelasan kepada orang ramai dan rakan-rakan bagi mengelak salah faham setiap kali pernyataan mengenai kenyataan fitnah itu diutarakan kepada saya,” ujar Rosmah dalam afidavit sokongannya. — The Star/NURBAITI HAMDAN

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram