Rosmah mahu saman pemegang akaun TikTok RM1 juta, sebar dakwaan amal ilmu hitam


Rosmah mendakwa defendan memuat naik video pada akaun TikTok enam bulan sebelumnya, yang mengandungi kenyataan palsu dan fitnah terhadapnya.

DATIN Seri Rosmah Mansor menuntut ganti rugi RM1 juta daripada seorang pemegang akaun TikTok yang disamannya berkaitan rakaman video yang mengaitkan beliau dengan amalan ilmu hitam.

Rosmah menuntut jumlah itu dalam afidavit difailkan pada prosiding taksiran ganti rugi yang perlu dibayar Ku Muhammad Hilmie Ku Din, selepas percaya kenyataan fitnah yang terkandung dalam rakaman video itu memusnahkan kredibiliti, nama baik dan reputasinya.

Dalam tuntutannya, Rosmah yang juga isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu mendakwa kenyataan fitnah dalam video tersebut menggambarkan beliau gagal mengamalkan nilai Islam yang sebenar.

BACA LAGI : [VIDEO] Keputusan VAR 'last minute' kecewakan fans, aksi JDT-MUFT dan Selangor-Penang turut terpalit

BACA LAGI : Patut raih 1 mata tapi ketumpulan penyudah punca TFC tewas — Badrul Afzan

Menurut laporan portal FMT, peguam Rosmah, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, menyatakan bahawa afidavit tersebut telah diserahkan kepada defendan tahun lalu, namun tidak dibalas.

Pada Selasa, Hakim Datuk Ahmad Shahrir Salleh menetapkan 27 Mei depan untuk pendengaran kes berkenaan dan mengarahkan peguam Rosmah mengemukakan hujahan bertulis dua minggu sebelum tarikh tersebut.

Rosmah, 72, memfailkan saman itu pada 19 September 2023.

Romsahh

Rosmah Mansor menuntut ganti rugi RM1 juta daripada seorang pemegang akaun TikTok.

Dalam saman itu, Rosmah mendakwa defendan memuat naik video pada akaun TikTok enam bulan sebelumnya, yang mengandungi kenyataan palsu dan fitnah terhadapnya.

Kenyataan dalam video tersebut menuduh beliau terlibat dalam perbuatan berdosa melibatkan syaitan dan bomoh, selain mendakwa beliau mengamalkan syirik.

Rosmah juga mendakwa bahawa kenyataan tersebut merosakkan reputasinya sebagai isteri Perdana Menteri keenam dan memberi kesan negatif terhadap pelbagai pertubuhan yang dinaunginya.

Ia turut menyebabkan beliau diejek, dihina dan mencemarkan nama baiknya sebagai tokoh masyarakat.

Saman itu menuntut ganti rugi am, teruk, dan teladan.

Pada 28 Mei 2024, Hakim Ahmad Shahrir membenarkan Rosmah membuat penghakiman ingkar terhadap Ku Muhammad selepas defendan gagal memfailkan kehadiran dan membela diri dalam saman tersebut.

Hakim juga mengarahkan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar ditentukan oleh mahkamah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram