Ada permohonan ditolak kerana dokumen palsu, Saifuddin terbuka tambah baik proses JPN


  • Massa
  • Jumaat, 04 Jul 2025

Saifuddin menegaskan pihaknya tidak mahu orang ramai terjejas akan kelewatan ketika proses permohonan.,

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) bersedia menambah baik dan memperbaiki perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), lebih-lebih lagi berhubung proses mengendalikan permohonan kad pengenalan.

Penegasan itu dibuat susulan pendedahan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengenai kelewatan tidak wajar dilakukan seorang pegawai penyiasat JPN Sabah dalam mengendalikan permohonan kad pengenalan baharu membabitkan seorang kanak-kanak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya menghormati hasil dapatan EAIC dan menegaskan KDN dan agensi berkaitan akan mengutamakan kemudahan orang ramai.

BACA LAGI: Trak FRU kenderaan tempur, sebab itu tiada tali pinggang — Saifuddin

BACA LAGI: Enam anggota Maritim Malaysia terlibat kes tembakan warga Indonesia direhatkan — Saifuddin Nasution

Permohonan kad pendaftaran baharu kadang-kala menjadi lewat dan menyukarkan pengguna.

"Saya juga ingin tekankan terdapat kes yang mana permohonan orang ramai ada tidak berjaya atau ditolak kerana dokumen dihantar palsu. Contohnya, ada kes melibatkan klinik bersalin yang sebenarnya tiada proses kelahiran berlaku di situ tetapi digunakan untuk mengeluarkan pengesahan kelahiran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat Madani di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pangkalan Abai, Kota Belud, Sabah pada Jumaat.

Jelas beliau lagi, JPN mempunyai polisi yang jelas, efisien dan pantas dalam proses mengesahkan sama ada dokumen diterima palsu atau sebaliknya, namun pihaknya masih terbuka untuk sebarang penambahbaikan.

"Ketika orang ramai yang mahu mendapatkan perkhidmatan terjejas akibat kelewatan, sudah menjadi tanggungjawab JPN untuk menambah baik," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram