AADK libatkan komuniti, ‘bottom up’ usaha perangi dadah


  • Primer
  • Sabtu, 10 Mei 2025

Ruslin berkata, keterlibatan komuniti dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah secara bersama adalah sangat penting.

PENGLIBATAN komuniti dalam usaha memerangi isu penagihan dadah secara langsung dilihat sebagai langkah tepat dalam membantu pihak berkuasa khususnya Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menjalankan pemulihan terhadap golongan sasar.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, melalui usaha itu, keterlibatan komuniti dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah secara bersama adalah sangat penting.

Katanya, pendekatan itu lebih bersifat bottom-up sekali gus membolehkan semua pihak baik daripada pihak berkuasa hingga rakyat mempunyai peranan tersendiri dalam memastikan generasi muda tidak terjebak dalam masalah ini.

BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal

BACA LAGI: 'Yuna peminat Liverpool', tak sampai setahun beroperasi, pasangan suami isteri di Klang pendam impian mahu setanding syarikat jersi di UK

“Program Sua Mesra Ketua Pengarah AADK ini bukan sahaja untuk mendekatkan pihak AADK dengan rakyat, tetapi lebih penting lagi untuk menyuntik kesedaran mendalam kepada masyarakat bahawa dadah bukanlah masalah yang boleh dipandang ringan.

“Ia adalah isu yang memberi kesan besar kepada kehidupan individu, keluarga, dan komuniti. 

“Program ini juga memberi peluang kepada Ketua Pengarah AADK dan pegawai-pegawai AADK untuk bertemu dengan masyarakat, mendengar pengalaman mereka, dan memberi penerangan tentang langkah-langkah yang boleh diambil untuk mencegah penyalahgunaan dadah,” katanya kepada pemberita di Jertih, Terengganu pada Sabtu.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Sua Mesra Ketua Pengarah AADK di Kampung Gong Kemuntong bersempena dengan Sambutan Peringatan Hari Antidadah 2025 yang bertemakan Pencegahan Dadah Tangggungjawab Bersama.

Dalam pada itu, Ruslin berkata, pelaksanaan program itu bertujuan merakyatkan perkhidmatan AADK khususnya dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) amnya yang melibatkan kluster keselamatan, menyebar luas kempen antidadah serta meningkatkan kesedaran pelbagai lapisan masyarakat mengenai peranan komuniti untuk bersama-sama dengan kerajaan dalam usaha memerangi dadah secara menyeluruh.

Tambahnya, program tersebut bukan hanya tentang memberi maklumat, tetapi tentang menyentuh hati dan membuka minda rakyat untuk melihat bahawa komitmen bersama adalah kunci kepada perubahan.

“Program ini adalah bukti kerajaan dan masyarakat perlu bekerjasama rapat dalam usaha membanteras dadah. 

“Kesedaran yang dibina melalui pertemuan sebegini akan membawa impak besar dalam mencorak masa depan yang lebih cerah, bukan hanya untuk generasi kini, tetapi juga untuk generasi akan datang. 

“Dengan penyertaan aktif dan sokongan daripada setiap lapisan masyarakat, kita yakin dapat membentuk masyarakat yang bebas daripada penyalahgunaan dadah dan lebih sejahtera,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram