
DALAM era serba digital yang penuh dengan tarikan skrin dan gajet, budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak dilihat semakin terpinggir.
Ramai ibu bapa mula bimbang apabila anak-anak lebih cenderung menghabiskan masa dengan telefon pintar berbanding menyelak buku.
Hakikatnya, membaca bukan sekadar aktiviti masa lapang, sebaliknya merupakan asas penting dalam membentuk pemikiran kritis, memperkaya kosa kata dan meningkatkan keupayaan akademik kanak-kanak.
BACA LAGI : Ketagihan kuasa, anggap pembantu rumah 'barang kerja' punca majikan jadi kaki dera — Pakar
Justeru, usaha menanam minat membaca perlu dipupuk seawal usia, dengan sokongan padu daripada ibu bapa dan penjaga. Berikut lima pendekatan praktikal yang boleh membantu mengembangkan kemahiran membaca dalam kalangan anak-anak:
1. Wujudkan sudut bacaan mesra kanak-kanak
Ibu bapa disaran menyediakan sudut khas di rumah untuk membaca buku. — Gambar Hiasan/Freepik
Persekitaran memainkan peranan penting dalam menarik minat membaca kerana ruang bacaan yang selesa dan menarik boleh menjadi pemangkin kepada tabiat membaca yang konsisten.
Ibu bapa disaran menyediakan sudut khas di rumah sama ada berhampiran tingkap, di tepi balkoni atau ruang tamu yang dihias dengan rak rendah dan buku pelbagai genre serta sesuai mengikut umur.
Antara bahan bacaan yang boleh disediakan termasuk buku bergambar, komik, fiksyen dan bukan fiksyen.
2. Mulakan secara perlahan dan konsisten
Ibu atau bapa boleh memainkan peranan mengajar anak mereka secara perlahan-lahan. — Gambar Hiasan/Freepik
Tidak perlu mengharapkan anak menghabiskan sebuah buku dalam satu sesi.
Sebaliknya, ibu bapa digalakkan bermula dengan cerita pendek atau buku bergambar yang ringkas tetapi menarik.
Luangkan sekurang-kurangnya 10 hingga 15 minit sehari untuk membaca bersama. Cara ini terbukti berkesan dalam membina tabiat membaca tanpa tekanan.
3. Jadikan sesi membaca sesuatu yang menyeronokkan
Ibu bapa atau penjaga seharusnya menjadikan aktiviti membaca itu menyeronokan . — Gambar Hiasan/Freepik
Membaca tidak seharusnya dianggap tugas yang membosankan. Galakkan anak-anak untuk meneka jalan cerita, menceritakan semula plot atau menggambarkan watak kegemaran mereka.
Ibu bapa juga boleh mencipta permainan ringkas berdasarkan kandungan buku untuk meningkatkan daya ingatan dan pemahaman.
Pendekatan interaktif ini boleh menyemai minat membaca secara berterusan.
4. Tunjukkan contoh sebagai pembaca
Ibu bapa seharusnya menjadikan membaca sebahagian daripada rutin harian anda. — Gambar Hiasan/JanaanAi
Kanak-kanak belajar melalui pemerhatian. Jika mereka melihat anda kerap membaca, mereka juga akan terdorong untuk melakukan perkara yang sama.
Jadikan membaca sebahagian daripada rutin harian anda. Ceritakan juga tentang buku yang anda baca, dan mengapa anda menikmatinya.
Apabila anak melihat bahawa membaca adalah satu aktiviti yang menyeronokkan dan bukan satu beban, mereka juga akan terdorong untuk membaca sendiri.
5. Galakkan penyertaan dalam kelab membaca
Galakkan anak menyertai kelab membaca atau kumpulan kecil bersama rakan sebaya untuk membaca buku yang sama. — Gambar Hiasan/ Freepik
Membaca secara berkumpulan boleh menjadikan aktiviti tersebut lebih menarik dan bermakna. Galakkan anak menyertai kelab membaca atau kumpulan kecil bersama rakan sebaya untuk membaca buku yang sama.
Perbincangan santai selepas membaca, dengan bimbingan orang dewasa, bukan sahaja mengukuhkan kefahaman malah membantu mereka membina keyakinan diri untuk berkongsi pendapat.
Kesimpulannya, dalam arus kemajuan teknologi, budaya membaca tidak boleh dipandang sepi dan dengan pendekatan kreatif, suasana sokongan dan contoh yang baik dari ibu bapa, kemahiran membaca mampu berkembang dengan subur dalam diri anak-anak.
Jika tidak dibentuk sejak kecil, generasi akan datang mungkin kehilangan satu kemahiran asas yang selama ini menjadi kunci kepada kejayaan dan pembangunan intelektual. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram