
DALAM budaya masyarakat kita hari ini, anak-anak yang berani menyuarakan pandangan sering kali disalah erti sebagai kurang ajar atau melawan kata orang tua.
Frasa seperti "jangan melawan cakap orang tua" atau "diam, kamu belum tahu apa-apa" sudah menjadi kebiasaan di kebanyakan rumah.
Walaupun kelihatan seperti teguran biasa, sebenarnya ia membawa kesan besar terhadap perkembangan insaniah dan daya fikir anak-anak.
BACA LAGI: Minat sambung belajar ke IPT merosot jejas masa depan tenaga kerja Malaysia
Masyarakat sering menekankan kejayaan anak-anak dalam aspek akademik dan disiplin, namun terlupa bahawa kemampuan menyuarakan pendapat secara yakin dan beradab juga adalah satu kemahiran asas yang sangat diperlukan dalam dunia moden.
Kebolehan berfikir secara kritis, menyatakan pendapat dan mempertahankannya dengan hujah yang baik adalah tunjang kepada pembentukan generasi yang bijaksana dan berketerampilan.
Sayangnya, budaya membungkam suara anak-anak ini telah menimbulkan pelbagai implikasi negatif.
Ramai dalam kalangan remaja kini berdepan dengan rasa rendah diri, kekeliruan identiti dan kesukaran menyatakan pendapat, bahkan emosi mereka sendiri.
Tidak kurang juga yang memendam perasaan sehingga memberi kesan kepada kesihatan mental mereka.
Kita perlu faham bahawa keberanian bersuara tidak sama dengan penderhakaan.
Anak-anak yang berani mengemukakan pandangan bukanlah mencabar autoriti ibu bapa, sebaliknya sedang belajar menilai dan menyuarakan buah fikiran secara matang.
Jika dari kecil mereka dibiasakan dengan ruang berdialog dan mendengar balas, mereka akan membesar dengan keyakinan serta rasa dihargai.
Apa yang membimbangkan, penggunaan perkataan seperti "derhaka" dengan mudah terhadap anak-anak yang menyuarakan pandangan hanya akan menghalang proses pembentukan minda kritis.
Akhirnya, anak-anak akan memilih untuk diam bukan kerana taat, tetapi kerana takut.
Sikap ini melahirkan generasi yang pasif, kaku dalam pemikiran dan tidak mampu mengekspresikan diri secara sihat.
Sebagai ibu bapa, merendahkan ego untuk mendengar pandangan anak tidak akan mengurangkan wibawa sebagai ketua keluarga.
Sebaliknya, ia memperlihatkan kematangan dan keterbukaan.
Anak yang didengari akan lebih mudah membina kepercayaan dan hormat yang tulen, bukan dipaksa.
Masih ramai dalam kalangan masyarakat yang menafikan keupayaan anak-anak untuk berfikir dan membuat keputusan.
Pandangan seperti "belum cukup matang" atau "belum cukup makan garam" terus menjadi alasan untuk menolak suara mereka.
Namun, memberi ruang kepada anak untuk menyuarakan pandangan adalah pelaburan jangka panjang untuk melahirkan insan yang berani, rasional dan empati.
Sudah tiba masanya kita sebagai masyarakat mengubah stigma terhadap suara anak-anak.
Hormat itu penting, tetapi hormat yang lahir daripada kefahaman dan kasih sayang jauh lebih utuh daripada ketaatan yang dibina atas ketakutan.
Memberi ruang kepada anak untuk bersuara bukanlah tanda kelemahan, tetapi langkah awal melahirkan generasi yang berani berhujah dan bijak menilai.
Anak-anak yang bersuara bukan bermakna derhaka.
Mereka sedang belajar menjadi insan yang berfikiran terbuka dan mampu menyumbang kepada masa depan negara dengan lebih matang dan berani. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
Nota: Artikel ini berdasarkan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian portal Majoriti
MOHAMMAD NAZRIN AFIFI BIN HASSAN SABRI
Pelajar Komunikasi Media Baharu
Universiti Sains Islam Malaysia