
NALURI seorang ibu yang merasakan sesuatu tidak kena bertukar menjadi tragedi apabila empat orang anak dan seorang menantu maut dalam satu kemalangan di Kilometer 7, Jalan Jerantut Feri–Maran, Pahang pada malam Jumaat (6 Jun).
Menurut laporan media tempatan, Zaini Noh, 52, berkata, perasaan tidak sedap hati yang dirasainya mendorong beliau untuk menasihati anak-anak dan menantunya supaya membatalkan rancangan menyambut Hari Raya di rumah pakcik mereka.
Namun katanya, anak-anaknya begitu teruja untuk pergi, menyebabkan beliau dan suaminya, Aziz Jaafar Yusof, 50, akhirnya mengizinkan mereka.
“Saya tak ikut sebab tak sihat. Saya dah pesan, kalau mak tak ikut, tak payah pergi. Saya nasihat berkali-kali supaya tak pergi, tapi mereka tetap berkeras,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Padang Kunchor, Bota Kanan, Perak pada Sabtu.
BACA LAGI: VIDEO] Remaja terselamat kongsi detik cemas tragedi bot karam di Tanjung Harapan
BACA LAGI: [VIDEO] Gugur air mata jantan Jojo Ghazali dalam dakapan ibu lepas tewas di tangan jaguh Amerika
Zaini Noh, ibu kepada mangsa nahas, luluh hati dan tidak mampu menahan sebak saat menerima khabar pemergian empat anak dan menantunya. — Facebook
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12.40 tengah malam itu, Nur Arfiqah Aziz Jaafar, 23, bersama tiga adiknya, Mohammad Zulkifli, 21, Mohamad Azizul Hakimi, 19 dan Nurul Hazwani, 17 maut selepas kereta Perodua Bezza yang mereka naiki bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard.
Kesemua mangsa merupakan anak kedua hingga kelima daripada enam beradik. Turut terkorban ialah suami Nur Arfiqah, Mohamad Ikmal Ishak, 26, yang memandu kenderaan tersebut.
Zaini memberitahu, anak-anaknya sudah lama tidak menziarahi rumah pakciknya di Jerantut dan kunjungan ini adalah yang pertama selepas sekian lama.
“Mereka pergi sebab abang saya ada buat kenduri korban. Saudara-mara lain, termasuk anak bongsu saya, bertolak lebih awal pada Khamis menggunakan dua kenderaan lain,” katanya.
Menurut Zaini lagi, kali terakhir beliau melihat kesemua anaknya adalah pada Selasa sebelum kejadian. Katanya, mereka berkumpul dan mengemas barang untuk bermalam di rumah Nur Arfiqah di Tambun sebelum bertolak ke Jerantut sekitar pukul 5 petang, Jumaat.
“Mereka kelihatan sangat ceria masa kami jumpa kali terakhir. Banyak cerita saya dengar daripada kawan-kawan mereka.
Mereka beritahu anak saya (Mohammad Zulkifli) sempat belanja 10 orang rakan serumah dengan nasi bungkus,” katanya.
Beliau menerima berita kemalangan itu melalui panggilan telefon daripada jiran yang memaklumkan anak-anaknya terlibat dalam kemalangan.
“Jiran telefon beritahu anak-anak kemalangan, tapi tidak maklumkan mereka sudah tiada. Hanya kemudian kami dimaklumkan semuanya telah pergi,” katanya dengan nada sebak.
Walaupun amat sukar untuk menerima kenyataan, Zaini dan suaminya tetap tabah dan reda menghadapi kehilangan besar ini.
“Sekarang tinggal dua orang anak sahaja yang sulung lelaki dan yang bongsu perempuan. Apa lagi boleh saya katakan… saya reda,” ujarnya sambil menahan air mata.
Jenazah kesemua mangsa disolatkan di Masjid Jamek Bota Kanan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Selat, Bota Kanan, Perak pada Sabtu. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram